Berita

JAIS panggil Nur Sajat untuk kaunseling, jelaskan isu identiti diri

PEJABAT JAIS terletak dalam Kompleks Bangunan Sultan Idris Shah, Shah Alam. - Gambar ihsan Selangorkini
- Diterbit 13 Februari 2020 3:14 AM MYT
Mohd. Shahzihan Ahmad

SHAH ALAM – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan memanggil usahawan kosmetik kontroversi, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau Nur Sajat untuk sesi kaunseling bagi menyelesaikan isu berkaitan identitinya dalam masa terdekat.

Pengarahnya, Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, langkah itu diambil susulan pihaknya menerima permohonan kerjasama daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Isnin lalu berhubung perkara tersebut.

“Kita menerima arahan untuk menjalankan sesi kaunseling terhadap Nur Sajat melalui Bahagian Dakwah.

“Dalam masa sama, JAIS masih mengenal pasti sebarang tindakan yang sesuai mengikut peraturan kerajaan negeri,” katanya kepada Wilayahku di sini hari ini.

Pagi tadi melalui laman Twitternya, Ketua Pengarah Jakim, Datuk Paimuzi Yahya menjelaskan, pihaknya telah meminta kerjasama JAIS berhubung isu Nur Sajat dalam mendapatkan keputusan yang bijaksana, hikmah dan tuntas.

Ia susulan kenyataan Nur Sajat dalam satu portal berita semalam yang menyatakan kesediaan bekerjasama dengan Jakim bagi menyelesaikan isu identiti dirinya melalui saluran rasmi selepas kontroversi yang tercetus ketika mengerjakan ibadah umrah baru-baru ini.

Nur Sajat dipetik sebagai berkata, dia mahu diberi panduan yang jelas dan terperinci bagi menyelesaikan isu identiti dirinya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas