Berita

Dakwaan modal berbayar Evermark Realty Sdn Bhd RM100 tidak tepat – Shahidan

- Diterbit 23 September 2021 2:14 PM MYT

DAKWAAN modal berbayar syarikat Evermark Realty Sdn Bhd berhubung dengan permohonan dua lot tanah di Jalan Peel, Kuala Lumpur yang mempunyai modal berbaya RM100 adalah tidak tepat.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, syarikat berkenaan telah membuat penambahan modal berbayar sebanyak RM2 juta dan ia dilaporkan di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKTWPKL) yang ke-750/2021 pada 12 Mei 2021

“Berdasarkan kepada Pelan Bandaraya Kuala Lumpur 2020, zon guna tanah yang telah ditetapkan bagi Plot A tersebut adalah untuk tujuan pembangunan bercampur (MX).

“Permohonan pemberimilikan tanah tersebut adalah di bawah seksyen 76 Kanun Tanah Negara (KTN) ke atas tanah Plot A oleh Evermark Realty Sdn Bhd tersebut dipertimbangkan kelulusan dan ia masih belum boleh dianggap sebagai ‘sempurna’ memandangkan pembatalan penrizapan di bawah Seksyen 64 KTN dan Notis Borang 5A belum dikeluarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan bagi pihak Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) hari ini.

Menurut Shahidan, kesemua permohonan tanah termasuk tanah tersebut yang terletak di Jalan Peel, Seksyen 90, Bandar Kuala Lumpur telah diproses seperti mana ketetapan prosedur yang berkuatkuasa dan tidak bercanggah dengan perundangan di bawah Kanun Tanah Negara 1965.

“Walau bagaimanapun ia tidak terletak di bawah bidangkuasa Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP), sebaliknya di bawah Jawatankuasa Kerja Tanah Wilayah Persekutuan (Land Exco), di Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara,” katanya.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas