Berita

DBKL tubuh tabung pusingan dana perumahan untuk bumiputera RM3.9 juta

Penyewa PPR/PA DBKL dapat pengecualian sewa selama sebulan ekoran Covid-19. Gambar hiasan
- Diterbit 16 Januari 2020 11:27 AM MYT

KUALA LUMPUR – Kementerian Wilayah Persekutuan melalui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengumumkan penubuhan tabung pusingan bernilai RM3.9 juta untuk membantu bumiputera B40 dan M40 membayar deposit pembelian rumah mampu milik yang pertama.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad berkata, dana itu merupakan hasil kutipan denda yang dikenakan ke atas pemaju yang didapati menjual lot bumiputra tanpa kebenaran DBKL.

“Ia merupakan sumbangan sebanyak lima peratus daripada harga unit yang diberikan pelepasan untuk dijual kepada bukan bumiputera.

“Tiada syarat had umur yang diperlukan, yang mesti ada ialah surat tawaran daripada bank dan bukannya terus datang ke kaunter DBKL minta duit deposit,” katanya pada sidang akhbar di DBKL hari ini.

Turut hadir Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Norhisham Ahmad Dahlan dan Ahli Parlimen Wangsa Maju, Datin Paduka Dr. Tan Yee Kew.

Dalam pada itu, Khalid turut menyatakan dana yang disediakan dapat membantu sekurang-kurangnya 130 pembeli yang memerlukan bantuan untuk membayar wang pendahuluan pembelian rumah mampu milik di bawah harga RM300,000.

“Mungkin terdapat pembeli yang sudah mempunyai separuh bayaran pendahuluan dan memerlukan sedikit saja lagi dana untuk bayar deposit, dana ini akan bantu sedikit.

“Jangkaan sekiranya semua orang yang memohon dana ini menggunakan RM30,000, maka jumlahnya adalah RM3.9 juta.

“Dalam keadaan ini, kita harap pemohon akan bertimbang rasa, sekiranya dia perlukan hanya RM15,000, maka kita akan bantu yang selebihnya, bukan untuk dia ambil semua,” katanya.

Kata Khalid, tempoh bayaran balik adalah kira-kira 10 tahun tanpa dikenakan sebarang faedah dan pemohon perlu mengemukakan permohonan mereka di Jabatan Perumahan DBKL.

“Inisiatif ini adalah untuk membantu menggerakkan ekonomi dan juga untuk mengatasi masalah lambakan rumah yang tidak terjual di Kuala Lumpur,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas