Berita

DBKL tidak toleransi terhadap rasuah

PEGAWAI kanan DBKL menglafazkan Ikrar Bebas Rasuah sambil disaksikan oleh Timbalan Pesuruhjaya (SPRM), Datuk Razim Mohd Noor pada Selasa.
- Diterbit 17 Mac 2023 3:22 AM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sentiasa mengambil serius tentang setiap urusan yang melibatkan pegawai dan kakitangannya agar bebas daripada unsur-unsur rasuah dan salah guna kuasa.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata pihaknya melalui Jabatan Integriti telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi membentuk sahsiah pegawai dan kakitangan DBKL yang berintegriti tinggi.

“Saya telah bersetuju untuk melaksanakan pensijilan MS ISO 37001:2016 Anti-bribery Management System (ABMS). Inisiatif ini dilaksanakan agar DBKL sentiasa mengambil serius bagi memastikan proses kerja dan tata kelola kerja kita tidak mendatangkan apa-apa unsur yang boleh menyebabkan berlakunya rasuah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Pengurusan Tertinggi DBKL di Menara 1 DBKL pada Selasa.

Hadir sama menyaksikan, Timbalan Pesuruhjaya, Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Razim Mohd Noor.

Mahadi berkata majlis tersebut merupakan komitmen dan inisiatif DBKL dalam mewujudkan sebuah organisasi yang memegang prinsip ‘Toleransi Sifar Terhadap Rasuah’.

“Inisiatif IBR oleh SPRM ini benar-benar menggalakkan warga DBKL untuk menjadi lebih bertanggungjawab dalam tugasan dan tidak terlibat dengan sebarang perlakuan rasuah,” katanya.

Beliau turut menggesa KetuaKetua Jabatan dan Pegawai-Pegawai Kanan yang berintegriti tinggi untuk menjadi contoh dan teladan yang berintegriti tinggi kepada kakitangan bawahan.

Mahadi turut menyeru agar semua pegawai dan kakitangan DBKL untuk memelihara integriti dengan sebaik-baiknya kerana ia mencerminkan kualiti tadbir urus yang cemerlang dan berkualiti tinggi.

“Saya percaya, dengan menjaga integriti diri kita sebagai penjawat awam, sudah tentu kerja-kerja yang kita hasilkan lebih bermakna, lebih telus dan dapat memberi kesan yang positif kepada penduduk Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa pihaknya tidak akan sesekali melindungi mana-mana pihak yang terlibat dengan rasuah.

“Saya juga tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai yang terlibat dengan rasuah dan bersedia memberi kerjasama penuh kepada pihak SPRM,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas