Berita

DBKL senaraikan penerima bantuan

||ASMAH|Ahmad Rafikh Roslan|CHE ZAN
- Diterbit 11 Disember 2020 4:06 AM MYT

PRIHATIN dengan nasib warga kota terutama golongan miskin bandar, Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) menerusi Inisiatif Wilayah Cakna telah memperkenal MyFood@Wilayah yang merupakan salah satu daripada lima program yang dicetuskan untuk membantu golongan tersebut.

MOHD MAHYUDDIN

Timbalan Setiausaha Bahagian Sosioekonomi Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP), Mohd Mahyuddin Yahya berkata, program MyFood@Wilayah merupakan julung kali diadakan dan menyasarkan penduduk projek perumahan rakyat (PPR) dan perumahan awam (PA) di bawah seliaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“KWP telah menghulurkan bantuan kepada kira-kira 67 kawasan PPR dan PA di bawah seliaan DBKL dalam program tersebut.

“Untuk fasa pertama, seramai 32,000 ketua isi rumah telah dipilih untuk menerima manfaat dari program itu yang melibatkan perbelanjaan RM1.6 juta,” katanya kepada Wilayahku pada Rabu.

Menurut Mohd Mahyuddin, senarai penerima yang diperolehi adalah hasil bancian yang dilakukan oleh DBKL mengikut Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) yang lama dan
ditentukan oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri.

“Bancian tersebut telah dibuat pada tahun 2018, DBKL menggunakan PGK yang dibuat pada tahun 2016 iaitu pada kadar RM980 sebulan bagi satu isi rumah dan PGK yang baharu pada kadar RM2,208 akan mula digunakan secara rasmi pada tahun 2021.

“Oleh kerana ia merupakan senarai bancian yang dilakukan dua tahun lalu, maka kita menggunakan senarai tersebut kerana belum ada bancian dibuat menggunakan PGK yang baharu.

“Sekiranya hendak memasukkan kumpulan sasaran yang ada di kawasan lain termasuk di kawasan PPR swasta, ia mungkin memakan masa yang lama,” katanya.

Mohd Mahyuddin berkata, KWP telah membuat permohonan terhadap pihak EPU bagi meneruskan program tersebut untuk tahun hadapan.

“Setakat ini, pemberian bakul makanan ini diberikan secara one-off dan melalui cadangan yang telah dikemukakan kepada pihak EPU, kami mahu ia dilaksanakan dua kali setahun.

“Kami perlu menumpukan program ini di Kuala Lumpur manakala dua kawasan lain, Labuan dan Putrajaya kemungkinan akan dilakukan pada pusingan kedua dan senarai penerima melalui rekod bergantung dengan sistem eKasih,” katanya.

“SYUKUR Alhamdulillah dengan sumbangan barang keperluan seperti beras, tepung, gula, susu, milo, minyak masak dan lain-lain dapat menampung kegunaan lebih seminggu bagi seisi keluarga.

“Jadi, wajar inisiatif prihatin ini diteruskan di masa akan datang khususnya dalam tempoh penularan COVID-19 kerana ramai telah terjejas pendapatan.” Ahmad Rafikh Roslan

 

“MAKCIK gembira dapat bantuan barang dapur ini dan boleh digunakan untuk kami tampung belanja seminggu ke dua minggu.

“Syukur atas bantuan ini, cuma apa diharap ialah sumbangan diberi kepada golongan betul-betul memerlukan dan tidak berlaku keciciran kerana dalam situasi semasa ini, ramai berharap mereka juga dibantu.” – Che Zan Ahmad

 

 

“USAHA membantu rakyat yang dilakukan KWP itu perlu dicontohi oleh pihak lain kerana kaedah pelaksanaannya sampai kepada golongan sasar rakyat di akar umbi.

“Barang keperluan yang diberi memang keperluan untuk semua penduduk dan dapat meringankan beban kami golongan warga emas. Teruskan usaha murni ini memberikan manfaat kepada warga yang memerlukan.” – Asmah Ahmad

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas