Berita

DBKL, Polis laksana operasi bersepadu pantau SOP

- Diterbit 26 September 2021 4:31 AM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi telah melaksanakan Operasi Khas Bersepadu bagi Pemantauan dan Tindakan Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) sepanjang tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Dalam hantaran di Facebook, DBKL berkata, kira-kira 10 buah premis perniagaan telah dibuat pemeriksaan mengejut yang melibatkan premis perniagaan restoran, bar, dan lain-lain aktiviti yang dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh PPN.

“Melalui operasi tersebut, tindakan penguatkuasaan turut diambil dengan menutup dua buah premis serta merta (sealed) yang dikendalikan warganegara asing menerusi Seksyen 101(1)(v), Akta Kerajaan Tempatan 1976,

“Manakala empat notis kompaun di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dikeluarkan terhadap pemilik / individu yang melanggar peraturan yang digariskan pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“DBKL turut mengeluarkan 17 notis kompaun di bawah Undang-Undang Kecil Petempatan Makanan (WPKL) 2016 kepada pemilik premis dan indvidu yang bekerja / mengendalikan tanpa kebenaran pihak berkuasa tempatan,” katanya hari ini.

Tambahnya, Polis Dang Wangi turut mengeluarkan pelbagai jenis kompaun menerusi kesalahan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 kepada individu dan pemilik premis.

Dalam pada itu, DBKL berkata, kerjasama dalam operasi bersepadu ini akan diteruskan dari semasa ke semasa mengikut bidang kuasa, SOP dan peraturan yang tetapkan pihak DBKL, PDRM dan MKN.

Operasi tersebut bermula pukul 10 malam tadi dan berakhir awal pagi ini dan ia dijalankan di sekitar pusat bandaraya Kuala Lumpur. –WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas