Berita

Perlawanan amal berjaya kumpul dana RM3,000 untuk Zulkifli Norbit

RAMLAN (dua dari kiri) menyampaikan simbolik perlawanan persahabatan kepada presiden Bola Sepak Melayu Malaysia pada perlawanan amal di Padang Mindef, baru-baru ini. RAMLAN (dua dari kiri) menyampaikan simbolik perlawanan persahabatan kepada presiden Bola Sepak Melayu Malaysia pada perlawanan amal di Padang Mindef, baru-baru ini.
- Diterbit 26 September 2021 5:00 AM MYT

SATU perlawanan amal di antara bekas pemain-pemain Kuala Lumpur yang dikenali sebagai KL Legend dan pilihan veteran Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (PBSMM) berjaya mengutip RM3,000 untuk bekas pemain bola sepak legenda negara Zulkifli Norbit.

Menurut Timbalan Presiden PBSMM, Datuk Ramlan Askolani berkata, perlawanan amal tersebut dirancang dalam tempoh masa yang singkat bagi membantu tokoh bola sepak negara yang pernah mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.

“Zulkifli Norbit adalah seorang legenda dan pernah mewarnai arena bola sepak tahun 70-an dahulu serta menjadi tonggak untuk pasukan kebangsaan ketika itu.

“Apabila mengetahui keadaan itu, saya amat prihatin dengan nasib yang menimpa Zulkifli kerana pernah mewakili negara sehingga ke peringkat kelayakan Sukan Olimpik.

Alhamdulillah saya dapat menghubungi pasukan KL Legend ini dalam masa dua hari untuk mengadakan perlawanan amal dan ia mendapat sambutan yang baik.” katanya kepada Wilayahku di Padang MINDEF pada Sabtu.

Ramlan yang juga Pengerusi Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) berkata, beliau akan mengadakan perbincangan dengan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dan Pengarah Eksekutif MSWP untuk membantu bekas-bekas pemain bola sepak khususnya yang pernah bermain dengan pasukan Kuala Lumpur yang menghadapi masalah sepanjang pandemik ini.

“Sebenarnya memang ada di dalam perancangan KWP untuk membantu bekas-bekas pemain bola sepak, khususnya untuk pemain pasukan Kuala Lumpur dan untuk melihat apa jenis bantuan serta keperluan untuk pemain bola sepak veteran yang berkemungkinan memerlukan bantuan,” katanya.

Melalui penganjuran tersebut, sebanyak RM3,000 berjaya dikumpulkan dan diserahkan kepada anak Zulkifli Norbit, Nor Effendi dan disaksikan oleh Presiden PBSMM, Mohd Firdaus Mohamad yang juga Naib Presiden FAM. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas