Berita

DBKL peruntuk RM2 juta bina Perumahan Bandar

PERUMAHAN Bandar yang terletak di Jalan Tuanku Abdul Rahman dirasmikan Khalid hari ini. - FOTO:NAZIRUL ROSELAN
- Diterbit 23 Oktober 2019 9:20 AM MYT

Oleh AZLAN ZAMBRY
[email protected]

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperuntukkan kira-kira RM2 juta untuk membangunkan Projek Perumahan Bandar yang dikhususkan kepada golongan muda.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad berkata, peruntukan tersebut digunakan untuk membangunkan bangunan milik DBKL yang tidak diguna pakai sekali gus memberi manfaat kepada warga kota.

“DBKL telah mengubah suai dua blok bangunan pejabat sedia ada untuk menempatkan kediaman lelaki dan perempuan di blok berasingan.

“Pendekatan kediaman ini adalah berkonsepkan perkongsian ruang bagi memaksimakan ruang di kedua-dua premis agar boleh menempatkan penyewa seperti yang dirancang,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Perumahan Bandar di Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini hari ini.

Turut hadir, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan.

Ujar Khalid, perlaksanaan projek dibahagikan kepada dua fasa iaitu dari ‘lower ground’ sehingga tingkat empat dan fasa kedua dari tingkat lima hingga tingkat tujuh dan bumbung di kedua-dua premis.

“Untuk fasa pertama, anggaran jumlah penempatan adalah seramai 188 orang penyewa manakala untuk fasa kedua pula dianggarkan seramai 123 penyewa dan jumlah keseluruhan adalah seramai 311 penyewa.

“Dalam premis ini juga turut disediakan ruang tamu, surau, kaunter, pejabat, ruang membaca, pantri, tandas dan tandas orang kelainan upaya (OKU),” katanya.

Tambah Khalid, pihak DBKL juga turut membekalkan sebuah peti sejuk dan sebuah ketuhar gelombang mikro untuk guna sama kepada penghuni.

“Kadar sewaan yang ditetapkan kepada setiap penyewa adalah sebanyak RM 100 sebulan dan tempoh adalah minimum 12 bulan hingga 18 bulan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas