Berita

DBKL: Penutupan jalan, lencongan trafik di Lebuhraya Sultan Iskandar, Jalan Tun Razak sehingga 14 Disember

- Diterbit 18 September 2021 3:23 AM MYT

LENCONGAN trafik dan penutupan jalan telah dilaksanakan di persimpangan lampu isyarat Jalan Sultan Azlan Shah dan Jalan Tun Razak bermula 15 September lalu sehingga 14 Disember ini.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata, penutupan itu adalah untuk membolehkan kerja-kerja menaik taraf persimpangan bertingkat di Lebuhraya Sultan Iskandar (Lebuhraya Mahameru), Jalan Tun Razak, Jalan Tun Ismail, Jalan Ipoh dan jalan-jalan di sekitarnya.

“Trafik dari Bulatan Pahang menghala ke Jalan Sultan Azlan Shah akan dilencongkan ke arah Jambatan Jalan Tun Razak dan seterusnya ke Jalan Tun Ismail, Jalan Putra dan Jalan Raja Laut untuk ke Jalan Sultan Azlan Shah.”

“Manakala bagi kenderaan ringan, trafik dari Bulatan Pahang akan dilencongkan ke Jalan Batu-Bata untuk ke Jalan Sultan Azlan Shah,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Justeru itu, pengguna kenderaan dinasihatkan untuk mengikuti semua papan tanda jalan sementara sebagai panduan dan langkah keselamatan untuk mengelakkan kekeliruan.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas