Berita

JAWI anjur Majlis Tilawah Al-Quran secara dalam talian bermula esok

MAJLIS Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri Wilayah Persekutuan Tahun 1443H/2021M pada 20 hingga 23 September 2021 bersiaran langsung di facebook rasmi JAWI dan aplikasi zoom.
- Diterbit 19 September 2021 2:22 AM MYT

JABATAN Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) akan menganjurkan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri Wilayah Persekutuan Tahun 1443H/2021M bermula esok, 20 hingga 23 September 2021 secara dalam talian melalui aplikasi zoom serta turut bersiaran langsung di facebook rasmi JAWI.

Dalam satu kenyataan, JAWI berkata, pelaksanaan majlis tersebut selaras dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan bagi kawasan Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 2 dalam mengekang penularan wabak Covid-19.

“Tujuan utama penganjuran majlis ini adalah bagi memartabatkan kemuliaan kitab suci al-Quran yang menjadi rujukan utama dalam kehidupan seharian seorang muslim dengan cara menarik minat masyarakat untuk mendekati, memahami, menghayati dan seterusnya mengamalkan isi kandungan al-Quran lebih-lebih lagi ketika umat Islam dilanda ujian mendepani pandemik Covid-19.

“Selain itu, majlis ini juga bertujuan memilih calon qari dan qariah serta hafiz dan hafizah yang berkelayakan dan terbaik bagi mewakili Wilayah Persekutuan ke Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

JAWI berkata, Majlis Tilawah Al-Quran pada kali ini akan disertai oleh empat belas orang peserta iaitu lapan peserta qari dan enam peserta qariah.

“Qari terdiri daripada empat orang peserta dari Kuala Lumpur, seorang dari Labuan, dua orang dari Putrajaya, dan seorang Johan Menunggu.

“Manakala qariah terdiri daripada dua orang peserta dari Kuala Lumpur, seorang dari Labuan, dua orang dari Putrajaya dan seorang Johan Menunggu,” katanya.

Menurut JAWI, bagi Majlis Hafazan Al-Quran, seramai 26 orang peserta akan menyertai majlis pada kali ini dalam tiga kategori berbeza.

“Untuk Kategori 1 (1 -10 juzuk) 10 orang peserta iaitu enam orang lelaki dan empat orang perempuan, Kategori 2 (1-20 juzuk) : lapan orang peserta (empat orang lelaki dan empat orang perempuan),

“Kategori 3 (1-30 juzuk) melibatkan lapan orang peserta yang terdiri daripada empat orang lelaki dan empat orang perempuan).

“Lebih istimewa seorang front liner kesihatan merupakan salah seorang peserta tilawah manakala dua orang peserta cilik hafazan merupakan adik beradik berusia 11 dan 12 tahun,” katanya.

Majlis akan dirasmikan oleh YB Senator Tuan Haji Idris bin Haji Ahmad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) pada 23 September 2021 (Khamis) jam 2.30 petang. Beliau juga akan menyempurnakan acara penyampaian hadiah kepada para pemenang yang akan diumumkan pada petang tersebut.

Kata kenyataan itu lagi, Majlis Hafazan Al-Quran akan berlangsung bermula pukul 8 pagi hingga 4.30 petang mulai 20 September (Isnin) hingga 22 September (Rabu).

“Majlis Tilawah Al-Quran pula berlangsung mulai 22 September (Rabu) bermula pukul 2.30 petang hingga 23 September (Khamis).

“Selain itu, acara kuiz selingan turut diadakan dengan pelbagai hadiah menarik menanti para peserta yang menonton secara dalam talian sepanjang tempoh empat hari majlis ini berlangsung,” katanya.

Sementara itu, JAWI berkata, pihaknya turut menganjurkan Forum Hal Ehwal Islam selama sembilan malam berturut-turut yang bermula 16 September hingga 24 September. .

“Forum tersebut akan bermula pukul 9.15 malam dan disiarkan secara langsung di facebook rasmi JAWI menampilkan ahli panel terkenal yang membicarakan pelbagai topik menarik bertemakan ’Keluarga Malaysia, Keluarga Sejahtera’,” katanya.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas