DALAM usaha menoktahkan kemiskinan tegar melalui dasar Malaysia Madani, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berganding bahu membantu kerajaan menanganinya daripada pelbagai aspek antaranya perkhidmatan kediaman, pendidikan serta pembangunan komuniti.

Menurut Penolong Pengarah Kanan, Jabatan Pembangunan Komuniti dan Kesejahteraan Bandar DBKL, Mohd Irwan Awang Hak, setakat ini DBKL menguruskan 61,000 unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) MTEN / Perumahan Awam (PA) DBKL dengan sewa serendah RM124 sebulan untuk golongan berpendapatan rendah (B40) dan miskin bandar.
“DBKL bukan lihat dari aspek keuntungan tetapi lebih kepada membantu mereka walaupun ada juga yang tidak mampu untuk membayar biarpun kadar sewa yang dikenakan rendah. Selain daripada itu, DBKL juga bekerjasama dengan Bank Islam dan TNB melalui zakat yang dikeluarkan syarikat-syarikat tersebut.
“Kita kenal pasti golongan tertentu yang tak mampu bayar sewa, kita bagi pemilikan rumah kepada mereka namun tak semua yang dapat,” ujar beliau pada sesi Forum Meja Bulat Madani: Menoktahkan Kemiskinan Bandar: Kesan Dan Cabaran baru-baru ini.
Sementara itu, dari segi pendidikan pula, DBKL mempunyai 23 buah Tadika Sang Kancil yang memberi fokus terhadap pendidikan awal kepada kanak-kanak di PPR/PA yang berusia empat dan lima tahun.
“Dengan pendidikan awal tersebut, apabila mereka masuk ke tadika biasa pada umur enam tahun mereka sudah mempunyai asas pembelajaran. Selain itu, DBKL juga bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Wilayah untuk program tuisyen percuma kepada pelajar darjah enam, tingkatan tiga dan tingkatan lima,” ujarnya lagi.
DBKL turut memberi penekanan kepada pembangunan komuniti di mana bekerjasama rapat dengan persatuan penduduk PPR/PA dari segi info selain turut memberi bantuan jika pihak tersebut ingin melaksanakan program pembangunan sosial.
“Bukan semua persatuan ada dana kerana itu kita bantu antaranya dari segi logistik dan makanan kerana kita faham di kawasan ini agak terhad untuk mereka bersosial antara satu sama lain,” katanya. -WILAYAHKU