Berita

DBKL laksana tindakan khas penjaja jagung

ANGGOTA penguat kuasa DBKL turut menyita barangan perniagaan ketika menjalankan tindakan khas sekitar ibu kota baru-baru ini.
- Diterbit 7 Julai 2023 6:00 AM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ­bertindak melaksanakan tindakan khas terhadap penjaja warga asing ­tanpa lesen baru-baru ini di sekitar Jalan Ampang (KLCC), Jalan Imbi dan Jalan P Ramlee pada Sabtu dan Ahad lalu.

Menurut DBKL, dalam ­operasi berkenaan empat tindakan ­sita atau pindah halangan telah diambil ke atas penjaja bukan warganegara yang menjaja makanan dan ­minuman serta dua peniaga pakaian terpakai (bundle).

“Kesemua penjaja ­terbabit dikenakan tindakan di bawah Undang-Undang Kesalahan 3(1) Undang-Undang Kecil Pelesenan Penjaja Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) 2016 – Penjaja Warganegara Tanpa Lesen.

“Selain itu, satu notis ­kompaun turut diberikan di bawah Seksyen 47(1)(a), Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 atas kesalahan membuang bahan jualan serta membuat kekotoran di tempat awam,” jelas DBKL dalam satu hantaran di Facebook pada Isnin.

Dalam masa yang sama, DBKL juga sudah melaksanakan ­tindakan khas kepada penjaja warga ­asing yang tular sedang membakar ­jagung dan menjualnya di hadapan ­bangunan Suria KLCC baru-baru ini.

Susulan video tersebut, DBKL telah menempatkan beberapa ­anggota penguat kuasa di ­lokasi-lokasi yang dikategorikan sebagai hot spot bagi memastikan ­aktiviti seumpama ini dapat dibendung.

DBKL menjalankan tindakan khas sekitar ibu kota.

Dalam perkembangan lain, Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) ­dengan kerjasama DBKL ­melaksanakan projek percubaan lorong bas di Jalan Ampang mulai Isnin.

Lorong tersebut bermula dari persimpangan Jalan Rhu sehingga ke persimpangan Jalan Tun Razak dengan melibatkan 34 buah bas dari dua laluan iaitu laluan 300 (Pandan Indah hingga Lebuh Ampang) dan laluan 303 (Taman Mulia Jaya ­hingga Lebuh Ampang).

Ia akan beroperasi pada ­waktu puncak pagi iaitu dari pukul 6 ­sehingga 9 pagi pada setiap hari Isnin hingga Jumaat dan dijangka akan memberi manfaat kepada ­komuniti sekitar koridor Jalan Ampang yang ingin memasuki pusat bandar raya untuk bekerja.

Dengan adanya lorong bas ini, perkhidmatan bas Rapid KL akan lebih lancar dan boleh ­menjimatkan masa perjalanan orang ramai ­sehingga 20 minit jika dibandingkan memandu kenderaan.

Malah, kesesakan ­dapat ­dikurangkan sekiranya berlaku ­pertukaran mod dari kenderaan awam ke bas di mana sebuah bas dua tingkat boleh memuatkan ­seramai 110 orang bersamaan ­dengan lebih 50 buah kereta hanya boleh memuatkan satu hingga dua orang penumpang pada ­satu-satu masa.

Perkhidmatan bas di Jalan Ampang ini bukan sahaja ­membawa penumpang ke KLCC namun menghubungkan para penumpang ke mod pengangkutan awam yang lain ­untuk ke destinasi akhir.

Justeru itu, digalakkan ­komuniti di Ampang untuk mencuba ­kemudahan yang disediakan ini agar pengangkutan awam dapat menjadi mod perjalanan utama mereka.

Perjalanan pengguna ­juga akan bertambah selesa dengan ­penggunaan bas dua tingkat yang baharu selain turut mempunyai kemudahan Park n Ride.

Komuniti di sekitar Ampang yang ingin menggunakan ­perkhidmatan bas boleh memanfaatkan kemudahan Park n Ride di LRT Ampang yang mengenakan caj parkir hanya RM4.30 sahaja sehari.

Perkhidmatan bas laluan 300 dan 303 yang akan membawa ­penumpang ke pusat bandar raya ­juga boleh didapati di hentian bas bersebelahan dengan LRT Ampang tersebut.

Para pengguna boleh memuat turun aplikasi PULSE di Google Play dan App Store bagi merancang perjalanan, aplikasi Google Maps untuk mengetahui lokasi bas serta layari laman web rasmi Rapid KL di https://myrapid.com.my untuk maklumat terkini. -WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas