Berita

Akta baharu gantikan MAS

- Diterbit 5 November 2020 10:43 AM MYT

KERAJAAN sedang berusaha untuk menggubal akta baharu yang bakal menggantikan Akta Malay Agricultural Settlement (MAS).

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa berkata, berkata akta baharu yang dinamakan Akta Pembangunan Kampung Baru itu perlu diwujudkan susulan Akta MAS yang wujud sejak tahun 1900 tidak lagi relevan sejak kewujudan Wilayah Persekutuan.

“Kekosongan yang ditinggalkan oleh Akta MAS itu perlu ada, jadi kementerian bersetuju untuk mewujudkan akta baharu ini.

“Kini ia sudah pun memasuki peringkat akhir,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan bantuan bakul makanan kepada 40 pemandu teksi yang terjejas akibat pandemik COVID-19 di sekitar Kuala Lumpur anjuran Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif YWP, Zaizalnizam Zainun.

Menurut Annuar, Akta Pembangunan Kampung Baru itu penting bagi memastikan tanah kampung tradisi itu kekal dimiliki orang Melayu.

“Dalam akta ini, ada beberapa peruntukan yang akan menaikkan lagi nilai-nilai tanah di Kampung Baru.

“Apabila ada sekatan-sekatan tertentu tanpa menyentuh pentingnya tanah Kampung Baru, maka ia akan kekal dimiliki orang Melayu,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Annuar berkata, pihaknya akan memuktamadkan pembangunan di kawasan itu mengikut parcel yang telah mendapat persetuan pemilik dan pewaris.-OLEH AZLAN ZAMBRY -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas