Berita

Habuan buat pembayar cukai

TAN (kiri) dan Shamsuddin (dua dari kanan) bersama hadiah yang dimenangi dalam Cabutan Bonanza Cukai Taksiran DBKL 2024
- Diterbit 8 April 2024 12:43 PM MYT

SYARIKAT Three V Holding Sdn Bhd dinobat pemenang utama Cabutan Bonanza Cukai Taksiran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) 2024.

Kemenangan tersebut membolehkannya membawa pulang hadiah utama sebuah kereta jenis BYD Dolphin sekali gus menewaskan 132 pembayar cukai taksiran yang lain.

Pengarah Urusan Three V Holding Sdn Bhd, Tan, 50, meluahkan rasa gembira di atas kemenangan itu meskipun pada awalnya dia menyangka ia adalah scammer.

“Pada awalnya memang saya tidak percaya dan jangka panggilan telefon daripada pihak DBKL adalah scammer.

“Tetapi selepas kami menghubungi semula pihak DBKL untuk mengesahkan kemenangan itu, ternyata ia benar dan sungguh tak sangka lebih-lebih lagi apabila dikatakan kami pemenang utama,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Serahan Hadiah Bonanza Cukai Taksiran DBKL 2024 di Menara 1 DBKL, Jalan Raja Laut, baru-baru ini.

Berkongsi perasaan sama, pemenang tempat kedua, Mohd Shamsuddin Othman, 46, yang membawa pulang sebuah motosikal Vario 1.0 bercadang menggunakannya untuk bersiar-siar.

“Pada awalnya, saya pun sama seperti pemenang utama yang lain, saya ingatkan panggilan daripada pihak DBKL itu adalah scammer kerana diberitahu akan menerima hadiah motosikal, mestilah terkejut.

“Walau apaPpun, syukur Alhamdulillah, terima kasih DBKL di atas kemenangan ini kerana ia adalah hadiah besar pertama yang pernah saya terima,” katanya.

Menjelaskan mengenai kaedah penyertaan, Shamsuddin berkata dia perlu melaksanakan pembayaran cukai taksiran 2024 untuk setahun (dua penggal) sebelum 29 Februari lalu tanpa ada sebarang tunggakan.

“Setibanya 2024, saya terus membayar cukai taksiran untuk dua penggal dan kadar bayarannya tidak sama dengan orang lain kerana ia mengikut jenis atau unit rumah pembayar cukai,” ujarnya.

Terdahulu, majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosioekonomi, Ismadi Sakirin dan turut diiringi Pengarah Eksekutif Perancangan, Datuk Zulkarnain Hassan dan Pengarah Eksekutif Pengurusan Projek, Mohamad Hamim.

Pada edisi kali ini, seramai 133 pembayar cukai taksiran berjaya memenangi cabutan bonanza dengan pelbagai hadiah antaranya motosikal, basikal elektrik, tablet dan dinar emas dengan anggaran keseluruhan hadiah bernilai RM390,000.

Cabutan Bonanza Cukai Taksiran ini merupakan salah satu cara DBKL menghargai pemilik harta yang membayar cukai taksiran pada setiap tahun tanpa sebarang tunggakan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas