Berita

DBKL anjur Malam Puisi, kenang pengorbanan frontliner

kumpulan Kopratasa menyanyikan tiga buah lagu pada Malam Puisi dan Lagu ‘Terima Kasih Wira Kita’ di Panggung Bandaraya baru-baru ini.
- Diterbit 29 Ogos 2020 2:09 AM MYT

PENGORBANAN wira barisan hadapan ketika menghadapi pandemik Covid-19 mendapat perhatian daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) apabila menganjurkan Persembahan Malam Puisi dan Lagu ‘Terima Kasih Wira Kita’ dengan kerjasama Persatuan Penyair dan kumpulan Kopratasa.

Persembahan itu bertujuan menghargai pengorbanan petugas barisan hadapan seperti Kementerian Kesihatan (KKM), PDRM, ATM, Jabatan Sukarelawan Rakyat Malaysia (RELA) termasuk penghantar makanan Food Panda yang menempuh risiko dalam melaksanakan tugas dalam menghadapi COVID-19 yang melanda di seluruh negara.

Program tersebut berlangsung di Panggung Bandaraya, Jalan Raja di ibu negara yang dibuka semula setelah ditutup selama empat tahun selepas proses ubah suai.

Ia dihadiri 150 penonton yang di jemput khas mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan KKM dan MKN.

Persembahan tersebut ber langsung selama hampir dua jam itu menampilkan pasangan hos, Fedtri Yahya dan Fiza Sabjahan.

Sasterawan negara, Datuk Dr Zurinah Hassan dan SN Profesor Emeritus Muhamad Salleh turut diundang mendeklamasikan puisi selain beberapa penyajak-penyajak dari Persatuan Penyair dan untuk mendeklamasikan puisi dan monolog berkaitan COVID-19.

Persembahan itu turut diselang seli dengan nyanyian daripada artis tempatan seperti Erni Zakri, Syamel, Ayai Ilusi, Kopratasa dan Zehra Zambri yang masing-masing menyampaikan lagu-lagu berkaitan COVID-19 dengan diiringi oleh orkestra DBKL dan artis budaya DBKL.

Sebelum persembahan melabuhkan tirai, semua penonton diajak untuk menyanyikan lagu kemerdekaan sempena ulang tahun kemerdekaan ke-63. Ia turut menjadi simbolik bahawa warga kota dan petugas barisan hadapan saling berganding bahu untuk ‘merdeka’ daripada kesan pandemik yang hampir melumpuhkan negara.

Hadir menyaksikan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Noor Hisham Ahmad Dahlan, Pengarah Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kua la Lumpur, Dr. Param Jeeth Singh dan Pengarah Eksekutif Perancangan DBKL, Nurazizi Mokhtar dan Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan, Mohd Nazam Harun.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas