Bersiap-siaga bertarung soal nyawa

KERJA-KERJA sukarelawan sebati dengan diri Juliana. - Foto: Nazirul Roselan

BIARPUN dihimpit kekangan masa dengan kesibukan tugas sebagai kakitangan kerajaan, ia tidak sesekali mematahkan semangat Juliana Manap untuk bergelar seorang sukarelawan.

Menariknya, wanita berusia 36 tahun ini memilih untuk menggalas tanggungjawab sebagai sukarelawan pemandu ambulans Angkatan Pertahanan Awam (APM), Putrajaya yang kebiasaannya dipelopori kaum lelaki.

Merupakan satu-satunya pemandu ambulans wanita di agensi kerajaan yang berpusat di Putrajaya, Juliana mengakui, dia teruja untuk menjalankan tugas sampingan itu semata-mata ingin mengabdikan diri dalam kerja-kerja kebajikan.

JULIANA sewaktu memandu ambulans menuju ke lokasi kemalangan.

Latar belakang adik-beradiknya yang terlibat dalam bidang kesihatan juga merupakan salah satu faktor keterlibatannya dalam bidang ini selain dia juga merupakan salah seorang kakitangan kerajaan di Kementerian Kesihatan.

Bercerita lanjut tentang tugas sukarelawannya itu, wanita yang berasal dari Tangkak, Johor ini mengakui, dia mula terlibat sebagai pemandu ambulans sejak lima tahun lalu dan tidak menyangka ia mampu bertahan hingga ke hari ini.

Berkongsi aktiviti sukarelanya itu, menurut bekas pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini, sejurus tamat tugas hakikinya di tempat kerja, dia akan terus bergegas ke Pusat Kawalan Operasi Daerah Putrajaya (PKOD) yang terletak di Presint 15, Putrajaya.

“Di sini kami mempunyai tiga syif. Kebiasaannya saya bekerja bermula pukul 6 petang hingga 12 tengah malam. Sementara itu, syif tengah malam pula biasanya akan melibatkan pekerja lelaki sahaja.

ANGGOTA APM menuju ke lokasi kemalangan dengan menaiki ambulans yang dipandu Juliana.

“Sepanjang bertugas saya akan sentiasa bersiap-siaga seandainya terdapat kes-kes kemalangan yang memerlukan bantuan. Pun begitu ia bergantung kepada keadaan, pernah satu ketika, saya menerima lebih dari tiga tugasan untuk satu syif,” ujarnya.

Sebagai seorang pemandu ambulans, setelah mendapat arahan dari PKOD untuk ke tempat kemalangan, dia akan bergerak bersama-sama tiga orang kakitangan lain termasuk dua orang petugas medik.

“Sebaik bergerak, saya perlu melaporkan pergerakan semasa melalui radio kepada PKOD. Ini penting untuk memastikan perjalanan lancar selain sebagai rekod kepada ibu pejabat,” ujar Juliana.

Katanya, seandainya berdepan dengan kesesakan lalu-lintas sedangkan dalam masa sama berurusan dengan kes kecemasan maka dia perlu bertindak cekap meminta kenderaan agar ke tepi untuk memberi laluan kepada ambulans.

“Selain hon, saya perlu bunyikan siren agar pemandu lain sedar kami sedang berada dalam situasi kecemasan. Ini merupakan antara tugasan yang paling mencabar kewibawaan pemandu kerana sedang bertarung dengan soal nyawa orang lain,” ujarnya.

Menurut Juliana, dia juga sering berdepan dengan cabaran apabila kebanyakan pengguna jalan raya tidak memberikan kerjasama malah enggan menghiraukan siren kuat yang dibunyikan.

“Sejujurnya saya tidak mengerti kenapa segelintir pemandu tidak mempunyai kesedaran sivik yang tinggi. Bayangkan jika mangsa yang berada dalam ambulans tersebut adalah keluarga mereka, adakah mereka tetap berperangai begitu?” ungkapnya.

Berkongsi kenangan yang tidak dapat dilupakan sepanjang bertugas sebagai pemandu, Juliana berkata, dia pernah menitiskan air mata tatkala cuba untuk mententeramkan ibu mangsa yang tidak dapat menerima kenyataan kehilangan anak tersayang.

“Kes tersebut berlaku di Puchong Permai. Mangsa yang merupakan penunggang motosikal telah dilanggar kereta dan meninggal dunia di tempat kejadian. Kebetulan kami tiba lebih awal di lokasi kejadian sebelum pihak hospital dan polis.

“Sambil menanti pihak tersebut, ibu si mati mendesak agar kami memeriksa anaknya sedangkan dia sudah tahu anaknya telah meninggal dunia. Biarpun kami mempunyai kakitangan medik, namun tidak berhak mengesahkan kematian mangsa.

“Dalam suasana haru-biru itu, ibu mangsa menangis dan hampir tidak sedarkan diri. Waktu itu, biarpun hanya pemandu ambulans namun saya terpaksa turun mengawal keadaan. Kejadian tersebut menghantui hidup saya hingga saat ini,” ceritanya.

Sebagai seorang sukarelawan, dia sanggup berkorban masa dan tenaga demi melunaskan tanggungjawab terhadap masyarakat sekeliling. Malah tiada istilah cuti hujung minggunya dalam kamus hidupnya sejak menyertai APM.

“Sejujurnya apa yang saya lakukan ini tidaklah sebesar mana namun apa yang pasti ia adalah amal jariah yang akan menjadi bekalan di akhirat kelak,” ujarnya.

Sedia hadapi Monsun Timur Laut

BAGI melancarkan kerja bantuan bencana serta memberi perlindungan bagi menjamin keselamatan nyawa masyarakat, sepanjang tahun ini, Angkatan Pertahanan Awam (APM) telah melakukan beberapa penambahan aset antaranya lori dan peralatan penyelamat di darat serta air.

Menurut Pegawai Bencana dan Operasi APM Putrajaya, Leftenan (PA) Mohamad Asnizam Tukiman, pihak APM baru sahaja menerima beberapa peralatan menyelamat mangsa dari tempat tinggi seperti tali, tangga dan bot berkelajuan tinggi.

“Kita akan sentiasa menjalankan proses penambahbaikan dari semua segi terutamanya peralatan bagi memastikan kerja-kerja menyelamat tidak berdepan dengan masalah contohnya terbaharu, kami sudah bersiap-siaga untuk menghadapi fenomena Monsun Timur Laut.

“Untuk kes bencana khas seperti ini, kami di Putrajaya sudah mempunyai pasukan tersendiri yang akan bergerak terus ke lokasi banjir di seluruh Malaysia sebaik diarahkan oleh pihak ibu pejabat,” ujarnya.

ASNIZAM (depan, tengah) bersama anggota APM di Pusat Kawalan Operasi Daerah Putrajaya (PKOD) Presint 15, Putrajaya.

Katanya lagi, seperti tahun lalu tim bencana khas yang telah dilatih secara khusus ditugaskan untuk membantu kerja-kerja menyelamat mangsa banjir di zon Pantai Timur.

Kongsikan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Penafian: Semua Komen di bawah tidak mencerminkan pendirian atau pandangan Wilayahku, ia merupakan pandangan peribadi penulis.