Berita

PKB harap kerajaan pertimbang wujud semula baucar buku untuk pelajar

MUHAMMAD Kamil (tengah) menyaksikan Majlis MoU di antara PKB diwakili Adibah (kiri) dengan Veeran (dua dari kanan) yang mewakili Merchantrade.
- Diterbit 18 Mac 2023 3:00 AM MYT

PERBADANAN Kota Buku (PKB) syarikat di bawah Kementerian Pendidikan (MoE) berharap kerajaan mempertimbangkan untuk mengembalikan pemberian baucar buku yang pernah dilaksanakan dahulu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Adibah Omar berkata pemberian baucar buku dapat membantu pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang memerlukan dan pelaksanaannya pada masa kini boleh ditambah baik selari dengan Dasar Digital Negara.

“Baucar buku boleh diberikan secara digital atau e-Baucar Buku kepada pelajar IPT dan ia boleh diperluaskan kepada murid di sekolah untuk menggalakkan budaya pembacaan ke arah pembinaan masyarakat madani.

“Ia juga selari dengan usaha PKB yang menawarkan fungsi e-dompet ‘Merchantrade Money’ oleh rakan strategik Merchantrade Asia Sdn Bhd (Merchantrade) melalui platform Kota Buku Digital Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara PKB yang diwakilinya dengan Merchantrade yang diwakili oleh Pengarah Urusannya, Ramasamy K. Veeran di Putrajaya pada Rabu.

Hadir menyaksikan, Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim dan Ahli Lembaga Pengarah PKB, Mohd Khair Ngadiron, .

Tambahnya, PKB amat percaya melalui cadangan pemberian e-Baucar Buku secara digital ini merupakan solusi yang konkrit terhadap permasalah dan kekangan yang berlaku dalam pelaksanaan inisiatif Baucar Buku secara fizikal sebelum ini sekali gus menyuburkan semula budaya pembacaan ke arah pembinaan masyarakat madani.

Menurut Adibah, Portal kota Buku Digital Malaysia merupakan sebuah platform perbukuan digital terbesar negara dibangunkan oleh PKB bagi mengumpulkan keseluruhan ekosistem industri buku dan penyediaan fungsi e-dompet di platform Kota Buku Digital Malaysia ini dapat memenuhi kepelruan transaksi kewanganm secara dalam talian selari dengan inisiatif e-perolehan yang dilaksanakan oleh Kementerian Kewangan. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas