Berita

Dari Pulau Pinang ke Menara KL

NAZLI (hujung kiri) bersama barisan pemenang cabaran Teh Tarik
- Diterbit 5 Februari 2024 3:44 PM MYT

LEBIH 10 restoran terkenal dari Pulau Pinang dihimpunkan di Menara Kuala Lumpur menerusi Program ‘Surrr! In the Sky’ @ KL Tower – Festival Nasi Kandaq baru-baru ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd, Nazli Saad, program yang diadakan di Tower Terrace Menara Kuala Lumpur itu mendapat kerjasama daripada pelbagai pihak seperti ACGAS, HARTA dan F&N.

“Ini adalah kali pertama kami mengumpulkan pengusaha Nasi Kandar yang ternama bersama-sama dalam satu festival di Menara Kuala Lumpur dengan kerjasama Nasi Kandaq Hunters dan Nasi Kandaq Transporter.

“Kami juga sangat teruja untuk menganjurkan lebih banyak acara sebegini di Menara Kuala Lumpur dan berhasrat untuk mengumpulkan pengunjung dan pencinta makanan bagi menikmati makanan tempatan di sini.

“Lebih istimewa, lebih daripada 500 orang pengunjung telah menjamu selera di Sky Deck sambil menikmati pemandangan indah bandar raya Kuala Lumpur,” ujarnya.

Antara restoran terkenal dari Pulau Pinang seperti Hameediyah, Kapitan, Hussain Pasembor Padang Kota, Line Clear, Ais Tingkap, Jamal Mohamed (Ketapang), Kudu dan banyak lagi.

Selain itu, Nazli berkata Menara Kuala Lumpur juga telah mengadakan Cabaran Teh Tarik @ KL Tower sempena festival tersebut.

Juara disandang oleh Syed Khaidhir Syed Abdullah dari Johor Bahru dan telah membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM5,000, manakala tempat kedua dimiliki oleh peserta berasal dari Kedah iaitu Pakir Mohamed Jamal Mohamed (RM3,000) dan pemenang tempat ketiga, Mohamad Shamier Danial Nor Hasmawi dengan hadiah wang tunai sebanyak RM2,000. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas