Berita

Fokus realisasi misi dan visi YWP, KSKYWP tingkat aspek kebajikan

KSKYWP turut memfokuskan terhadap aspek kesukanan untuk mengeratkan hubungan kakitangan
- Diterbit 5 Februari 2024 3:42 PM MYT

YAYASAN Wilayah Persekutuan (YWP) melalui Kelab Sukan dan Kebajikan YWP (KSKYWP) akan terus memberi perhatian terhadap kebajikan dan kesejahteraan pekerja terutama dalam aspek kewangan, perubatan dan hal-hal berkaitan.

Pengerusi Jawatankuasa KSKYWP, Muhammad Izzat Amir Mohd Rahimi berkata KSKYWP adalah organisasi yang bertanggungjawab dalam memastikan kebajikan pekerja terjamin tanpa mengira kedudukan dan latar belakang.

“Mereka adalah individu yang menjadi tonggak utama dalam kejayaan sesebuah organisasi. Sudah tentu, kesejahteraan pekerja menjadi keutamaan kita untuk mencapai misi dan visi YWP.

“Justeru itu, sejak ditubuhkan pada tahun 2016, KSKYWP menjadi organisasi di bawah YWP yang akan membantu para pekerja mendapatkan bantuan kebajikan termasuk faedah-faedah lain antaranya sumbangan kemasukan wad, perkahwinan, hari raya dan saguhati akhir tahun,” ujarnya.

Tambah Izzat, pihaknya juga akan memfokuskan terhadap aspek kesukanan dengan memperbanyakkan aktiviti pada tahun ini.
“Di peringkat jawatankuasa, kita sudahpun mempunyai beberapa perancangan tahunan terutama dalam persiapan menghadapi kejohanan Pesta Sukan Antara Yayasan (PESAYA) kali ke-15 pada tahun 2025 akan datang.

“Insya-Allah selepas sambutan Aidilfitri, kita akan buat persiapan awal dari segi latihan dan semestinya sasaran adalah ingin mencapai kecemerlangan dalam setiap acara yang disertai.

“Selain itu, beberapa perancangan aktiviti sukan juga telah pun dibincangkan bersama antaranya Karnival Sukan Yayasan Wilayah Persekutuan 2024, Pesta Sukan Rakyat Yayasan Wilayah Persekutuan, konvoi bermotor dan perlawanan persahabatan bersama agensi,” ujarnya sambil menambah ­sukan antara aktiviti dapat mengeratkan hubungan dalam kalangan kakitangan YWP.

Dalam pada itu, selaku Pengerusi Jawatankuasa KSKYWP yang baharu dilantik bagi sesi 2024, dia berharap dapat menjalankan tanggungjawab dan amanah yang diberikan sebaik mungkin.

“Semoga segala penambahbaikan dan perancangan dapat dilaksanakan dengan jayanya. Saya amat memerlukan sokongan daripada semua pekerja YWP selain sentiasa membuka ruang kepada sesiapa sahaja untuk memberi pandangan atau cadangan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas