Atlet Wilayah

Status pemain nombor satu di Asia, Rafiq tampil prestasi terbaik

MUHAMMAD RAFIQ memasang impian besar untuk muncul juara dunia suatu hari nanti.
- Diterbit 5 Februari 2024 3:50 PM MYT

KELAHIRAN cahaya mata sulung baru-baru ini berjaya melonjakkan motivasi jaguh boling negara, Muhammad Rafiq Ismail untuk melakar lebih banyak kejayaan membanggakan pada masa depan.

Bukan sahaja mahu memburu lebih banyak gelaran, juara dunia pada tahun 2018 itu berkata kehadiran anaknya, Muhammad Yusuf membuatkan dia tekad mengekalkan dominasi dalam kalangan pemain boling lelaki peringkat Asia.

“Memang berbeza hidup selepas ada anak cuma walau macam mana pun saya akan cuba menyesuaikan diri dengan situasi sekarang.

“Saya tidak mahu ambil ini (kelahiran anak) sebagai perkara yang membebankan malah ia memotivasikan diri untuk meraih kemenangan kerana saya percaya rezeki anak ada di mana-mana,” ujar anak keempat daripada lima orang adik-beradik ini.

Berdasarkan ranking Persekutuan Boling Asia, Muhammad Rafiq kini memegang status sebagai pemain nombor satu di Asia buat tahun ketiga berturut-turut sejak 2021 dengan mengumpul 442 mata.

Dalam masa sama, Muhammad Rafiq berkata selepas melakar sejarah melakukan kejutan membantu skuad boling negara menamatkan kemarau 15 tahun pada Kejohanan Asia di Hong Kong, dia kini bertekad untuk memburu emas pada Kejohanan Dunia di Kuwait November depan.

“Kemenangan pingat emas skuad boling Malaysia pada Kejohanan Tenpin Boling Asia (ATBC) ke-26 baru-baru ini menjadi pencetus semangat untuk memperbaiki pencapaian kami pada Kejohanan Dunia tahun lalu apabila sekadar berpuas hati dengan pingat gangsa.

“Bagi Kejohanan Dunia pada November nanti, acaranya ialah team of four, di ATBC pula team of five, ia agak berbeza tetapi saya percaya momentum kami akan kekal sehingga kejohanan tersebut.

“Semasa acara berpasukan Kejohanan Dunia di Dubai 2021, kami hanya dapat pingat gangsa dan kali ini kami mahu melakukan kejutan untuk melakar kemenangan. Saya yakin kami mampu tuai pingat emas di sana,” ujarnya dia akan memberi fokus untuk menampilkan prestasi terbaik pada Kejohanan Terbuka Malaysia yang berlangsung pada April nanti.

Sebelum ini, Muhammad Rafiq bersama rakan sepasukan Syafiq Ridhwan, Mohd Syazirol Shamsudin, Tun Hakim, Timmy dan Ahmad Muaz mencipta sensasi apabila meraih pingat emas acara lelaki lima berpasukan dengan melakukan 7,323 jatuhan pin pada ATBC baru-baru ini.

Atlet kelahiran Selangor itu turut beraksi cemerlang mengungguli acara Masters lelaki selain skuad negara men
yapu bersih acara All Event lelaki dengan dia membuat jatuhan pin tertinggi sebanyak 6,128 bagi meraih emas.

Kemenangan itu menyaksikan skuad negara menutup cabaran di Hong Kong dengan membawa pulang empat pingat emas, lima perak dan tiga gangsa. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas