Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Berita

Justin juara Terbuka Slovenia 2024

- Diterbit 24 Mei 2024 4:20 PM MYT

PEMAIN badminton perseorangan lelaki negara, Justin Hoh muncul juara Terbuka Slovenia 2024 selepas berehat panjang akibat kecederaan yang dialaminya sebelum ini.

Pemain berusia 20 tahun itu bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menewaskan pemain Indonesia, Prahdiska Bagas Shujiwo 19-21, 21-11, 21-15 pada perlawanan akhir di Dras Center, Maribor.

Justin yang kini menduduki ranking ke-179 dunia adalah pemain kedua Malaysia yang merangkul gelaran perseorangan lelaki pada kejohanan itu selepas kemenangan Ramdan Misbun pada tahun 2013.

Terdahulu, atlet kelahiran Kuala Lumpur itu terpaksa berehat selama lapan bulan akibat kecederaan tendon Achilles pada April tahun lalu.

Tidak lama selepas kembali daripada pembedahan, dia cedera di lutut kanan pada November dan terlepas Kejohanan Badminton Berpasukan Asia 2024 di Setia Alam pada Februari yang mengakibatkan ranking dunianya jatuh daripada 50 teratas kepada bawah 200.

Bagaimanapun, Justin berjaya bangkit dan kembali beraksi secara kompetitif dalam Cabaran Antarabangsa Toyota di Thailand dari 26 hingga 31 Mac 2024 dan kemudiannya membantu pasukan negara merangkul pingat gangsa Piala Thomas di Chengdu, China, sebelum bertanding di Slovenia. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas