Berita

Bantu pelajar buat pilihan betul

PESERTA Kem BaLas bergambar pada program yang diadakan di Johor Tiram Indah Village, Ulu Tiram baru-baru ini.
- Diterbit 23 Januari 2020 5:05 AM MYT

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memulakan tahun 2020 ini dengan melaksanakan kerja­sama strategik untuk membantu para pelajar membuat perancangan dan pilihan yang betul selepas tamat pengajian pe­ringkat sekolah menengah.

Kerjasama itu menyasarkan lepasan Sjil Pelajaran Malaysia (SPM) yang berada di luar bandar melalui penganjuran program Buat Apa Lepas SPM (BALAS).

Menteri Pembangunan Luar­ Bandar, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, pihaknya berharap langkah pro­aktif kementerian dan PTPTN akan mempersiapkan generasi muda merancang masa depan pendidikan serta kerjaya mereka.

“Saya juga gembira ke­rana program BALAS ini turut mempunyai komponen pembinaan sahsiah yang mampu menjadi mo­dal terpenting untuk masa depan mereka,’’ katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Sementara itu, Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan berkata, melalui maklumat dan bimbingan diberikan melalui penganjuran BALAS, para pelajar luar bandar diharap da­pat membuat keputusan yang tepat dalam memilih laluan pendidikan dan kerjaya kelak.

“Saya bangga kerana ini adalah pertama kali PTPTN melakukan kerjasama stra­tegik dengan KPLB untuk membantu anak bangsa dari kawasan luar bandar.

“Kita akan cuba pelbagaikan kolaborasi strategik antara agensi sebegini supaya dapat mendekati lebih ramai pelajar lagi,’’ katanya.

Dalam pada itu, PTPTN dalam kenyataannya ber­kata, sebanyak RM375,000 di­peruntukkan bagi menjayakan program BALAS manakala agensi-agensi di bawah KPLB menyediakan peserta dan kemudahan lain untuk pelaksanaan program.

Katanya, menerusi enam siri bootcamp yang dianjurkan, seramai hampir 1,000 pe­lajar lepasan SPM luar bandar dari kawasan yang terpilih di seluruh negara bakal mengikuti program berkenaan.

Program tiga hari dua malam di enam lokasi itu bermula pada 10 Januari lalu sehingga 22 Mac depan iaitu di Johor Tiram Indah Village, Ulu Tiram, Johor (10 hingga 12 Januari); Kolej KETENGAH, Bandar Al-Muktafi Billah Shah, Terengganu (17 hingga 19 Januari); PCB Resort, Kota Bharu, Kelantan (28 hingga 30 Januari); Kem Paya Pahlawan, Jitra, Kedah (7 hingga 9 Februari); Pulau Pinang (6 hingga 8 Mac) dan Kuala Lumpur (20 hingga 22 Mac).

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas