Berita

Dana RM1.2 juta diperuntuk laksana Projek Survei Populasi Orang Utan Sabah

DATUK Mad Zaidi Mohd Karli (tengah) ketika merasmikan Majlis Perasmian World Orang Utan Day The Other Malaysians di Zoo Negara, hari ini.
- Diterbit 19 Ogos 2023 6:00 AM MYT

KEMENTERIAN Perladangan dan Komoditi memperuntukkan dana sebanyak RM1.2 juta bagi pelaksanaan Projek Survei Populasi Orang Utan di Sabah.

Ketua Setiausahanya, Datuk Mad Zaidi Mohd Karli berkata, dana itu diberi bagi membolehkan projek survei dilaksana untuk mengetahui fakta dan data lebih lanjut mengenai populasi orang utan di lokasi berkenaan.

“Kajian itu kita akan laksanakan dalam tempoh terdekat, mungkin dalam sebulan dua.

“Kita nak ketahui fakta dan data yang berkaitan sebab banyak kajian yang telah dilaksana, cuma di peringkat Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) kita nak ketahui lebih lanjut populasinya berapa dan apa isu berkaitan haiwan tersebut,” katanya kepada media pada Majlis Perasmian World Orang Utan Day The Other Malaysians di Zoo Negara, hari ini.

Turut hadir, Pemangku Pengurus Besar MPOGCF, Hairulazim Mahmud dan wakil-wakil daripada industri Sawit Malaysia.

Menurut beliau, negeri Sabah dipilih untuk melaksanakan kajian tersebut berikutan negeri tersebut sering dikaitakan dengan penempatan orang utan selain mempunyai populasi yang tinggi.

“Hasil kajian WWF yang diterbitkan pada 2019 mendapati, populasi orang utan di Sabah adalah stabil sepanjang 15 tahun namun laporan tersebut turut menyebut populasi orang utan di hutan-hutan dikelilingi ladang sawit menunjukkam trend penurunan yang membimbangkan,” katanya dianggarkan terdapat kira-kira 104,700 Orang Utan Borneo.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata pihak industri sawit Malaysia menerusi MPOGF menjalankan pelbagai aktiviti bagi pemuliharaan haiwan yang dilindungi ini.

“Antaranya Program Penanaman Sejuta Pokok untuk rehabilitasi habitat orang utan melibatkan kawasan seluas 2,500 hektar di Hutan Simpan Ulu Segama-Malua, Lahad Datu, Sabah selain membiayai operasi Wildlife Rescue Unit (WRU) untuk menyelamat dan memindahkan orang utan ke habitat selamat.

“Dalam tempoh 2010 hingga 2020, sebanyak 61 orang utan telah diselamatkan oleh WRU.

“Dalam masa yang sama, kita juga turut membaiyai survei orang utan di seluruh Sabah untuk tempoh dua tahun yang akan bermula tahun ini dengan jumlah RM1.2 juta,” katanya.

Beliau berkata usaha-usaha ini adalah bukti komitmen industri sawit Malaysia mentransformasi kepada industri mampan yang mengutamakan kelestarian alam sekitar dan mesra hidupan liar serta industri yang memberi impak minima kepada ekosistem semula jadi.

Beliau juga turut menyeru rakyat Malaysia menyokong usaha-usaha ini dengan mengutamakan produk- produk sawit yang mendapat pengiktirafan Minyak Sawit Mampan Malaysia atau Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO). – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas