Berita

CYDES 2023 cerminan komitmen kerajaan tangani isu keselamatan siber

- Diterbit 13 Julai 2023 3:30 PM MYT

PAMERAN dan Persidangan Pertahanan & Keselamatan Siber (CYDES) 2023, yang melabuhkan tirainya hari ini, mencerminkan komitmen kerajaan dalam menangani isu keselamatan siber melalui kolaborasi serta jalinan kerjasama.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata ini kerana acara yang berlangsung selama empat hari itu telah menghimpunkan pakar, penggubal dasar dan pelaksana dalam industri berkenaan dari seluruh dunia.

Beliau berkata strategi keselamatan siber hanya boleh berjaya jika terdapat kolaborasi antara semua pihak berkepentingan yang berkaitan.

“Melalui kolaborasi sedemikian, kita meningkatkan keupayaan, memupuk inovasi dan mewujudkan ekosistem keselamatan siber yang utuh serta mampu mengatasi ancaman yang muncul dengan berkesan,” katanya ketika berucap pada majlis penutup CYDES 2023 di sini hari ini.

Teks ucapan Mohd Zuki dibacakan oleh Ketua Pengarah Keselamatan Negara Datuk Raja Nushirwan Zainal Abidin, yang merasmi majlis itu bagi pihak Ketua Setiausaha Negara.

Selain itu, Mohd Zuki berkata CYDES sendiri adalah contoh perkongsian awam-swasta yang berjaya, mewakili usaha bersama antara agensi kerajaan seperti Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) serta rakan kongsi sektor swasta Alpine Integrated Solution Sdn Bhd (Alpine).

Mengakhiri ucapan, beliau menzahirkan penghargaan terhadap pencapaian dan kemajuan kolektif dalam bidang keselamatan siber melalui CYDES 2023.

“Kita telah memperluas pengetahuan, membina jambatan kerjasama serta meletakkan asas bagi masa depan digital yang berdaya tahan dan terjamin. Kejayaan acara ini tidak mungkin dapat dicapai tanpa dedikasi dan sumbangan setiap peserta, penaja, pempamer dan rakan kongsi.

“Sokongan dan komitmen anda yang tidak berbelah bahagi kepada matlamat keselamatan siber telah memainkan peranan penting dalam pertumbuhan serta kemajuan ekosistem keselamatan siber kita. Bersama-sama, kita telah mewujudkan satu persekitaran yang memupuk kerjasama, perkongsian ilmu dan tindakan secara kolektif,” katanya.

Dianjurkan oleh MKN, NACSA dan Alpine, CYDES 2023 berlangsung dari 10 hingga 13 Julai di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) dengan tema ‘Building Cyber Resilience: Safeguarding The Digital Future.’

Edisi pertama CYDES diadakan dalam format maya sepenuhnya pada 2021. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas