Berita

Anwar rapat jurang antara pemimpin dan generasi pelapis negara

ANAK muda berpotensi jadi pemimpin hebat pada masa hadapan. Foto: SADIQ ASYRAF/Pejabat Perdana Menteri
- Diterbit 14 Julai 2023 12:00 AM MYT

GENERASI muda yang bakal menjadi pelapis legasi ­pentadbiran negara perlu lebih cakna dengan perkara yang berlaku di sekeliling mereka agar dapat memangkin budaya politik baharu untuk Malaysia yang lebih Madani.

Dalam konteks tersebut, ­mereka perlu lebih berfikiran kritis dan ­terbuka dalam membincangkan isu-isu penting seperti politik, ekonomi dan sebagainya sekali gus bijak ­dalam membuat penilaian.

Penganalis politik, Noor Hilmi Mohd Johan berpandangan, jika mereka tidak memahami dasar atau polisi kerajaan terhadap sesuatu isu maka mereka perlu ­meluahkannya melalui cara dan platform yang betul.

“Generasi sekarang tidak lagi seperti dua tiga generasi ­terdahulu, disebabkan kepesatan ­teknologi maklumat yang ada pada hari ini hampir semua orang bebas ­untuk mengekspresi atau meluahkan apa yang dirasa, apa yang disukai ­mahupun apa yang ingin dikritik.

“Namun begitu, apabila ada generasi yang boleh bersuara dan berani maka secara tidak langsung sebenarnya kita telah memberi pendedahan dan melatih anak muda itu sendiri untuk menjadi pemimpin di masa hadapan,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian ­ketika diminta memberi pandangan ­tentang saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar anak muda hari ini punyai ­minda yang kritis dan terbuka dalam menyikapi permasalahan negara.

Mengulas lanjut, beliau yang ­juga Pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM) UiTM Kampus Rembau berkata, usaha PM mendekatkan ­diri ­kepada anak muda melalui Program Temu Anwar merupakan ­pendekatan wajar dan taktikal yang boleh ­merapatkan jurang di antara ­pemimpin dan juga rakyat.

“PM pergi berhadapan dengan orang muda tanpa ada skrip ­maksudnya dia pergi dan ­terus bertanya anak muda, apa soalan mereka sekali gus kita ­dapat ­lihat beliau sentiasa bersedia berhadapan dengan sesiapa sahaja.

“Jadi pendekatan ini kalau kita dapat saksikan berbeza dari pendekatan dasar atau polisi pemimpin yang terdahulu,” ujar beliau ia ­juga merupakan tatacara pentadbiran yang baik.

Terdahulu, Anwar menjelaskan ruangan Temu Anwar digunakan untuk perjelas agenda Kerajaan Perpaduan serta menjawab pelbagai soalan daripada mahasiswa.

“Saya mengingatkan anak-anak muda untuk gilap idealisme serta punyai minda yang kritis dan terbuka dalam menyikapi pelbagai permasalahan dalam negara, ­selain mengelak diri dari mengacung naratif-naratif yang menajamkan fahaman perkauman,” ujar beliau.

Sebelum ini Anwar mahu agar anak muda peka dalam dunia yang mencabar dan media sosial yang menggugat kerana satu ­kesilapan satu generasi akan membawa kemudaratan kepada negara. -WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas