Berita

CUEPACS gesa adakan perbincangan antara majikan, pekerja

ANGGOTA petugas perubatan berdoa sebelum memulakan tugas. - Gambar hiasan
- Diterbit 9 Mei 2020 12:10 PM MYT

PUTRAJAYA – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menggesa perbincangan diadakan melibatkan pengurusan tertinggi Kementerian Kesihatan (KKM) bersama wakil kesatuan dan pekerja bagi menyelesaikan isu tuntutan elaun Covid-19 bagi petugas barisan hadapan.

Ini kerana tegas Presiden CUEPACS, Adnan Mat, karenah birokrasi serta pelbagai syarat yang ditetapkan termasuk menidakkan kelayakan petugas yang sepatutnya berhak menerima elaun tersebut seolah-olah mempermainkan perasaan petugas.

“CUEPACS berpandangan perbincangan dua hala antara majikan dan pekerja dapat menyelesaikan isu ini secara total tanpa perkara berbangkit di kemudian hari.

“Pandangan dan suara daripada pihak kesatuan atau wakil pekerja perlu diambil kira bagi memastikan hak dan kebajikan petugas barisan hadapan terbela sepenuhnya.

Ketika ini keputusan yang dibuat oleh ketua jabatan dilihat langsung tidak mengendahkan suara dan pandangan kakitangan serta pegawai bawahan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru itu Adnan berkata, CUEPACS berharap agar KKM dapat meneliti dan membuat pertimbangan sewajarnya bagi memudahkan kaedah pembayaran elaun Covid-19.

Ujarnya, penambahbaikan yang dibuat haruslah bertujuan untuk memudahkan urusan kerja petugas barisan hadapan dan tidak menidakkan hak yang sepatutnya mereka terima.

Tambahnya, perlu diingatkan ada petugas yang ditempatkan di lapangan masing-masing tidak dibenarkan balik berminggu-minggu, cuti dibekukan, syif kerja yang membebankan dan sehingga kini tidak dibenarkan mengambil cuti.

“CUEPACS juga menggesa agensi dan jabatan lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Imigresen, Kastam dan lain-lain turut sama meneliti serta memudahkan urusan pembayaran elaun khas yang diterima untuk petugas barisan hadapan mereka.

“Elaun yang diberikan oleh kerajaan adalah suntikan semangat kepada petugas barisan hadapan. Janganlah lunturkan semangat dengan kerenah-kerenah birokrasi yang dicipta sendiri,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas