Berita

Kluster baharu di Setia Alam libatkan warga Bangladesh

Anggota ATM melakukan pemantauan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Setia City Mall Setia ALAM, Shah Alam. Gambar hiasan
- Diterbit 9 Mei 2020 12:36 PM MYT

PUTRAJAYA – Satu lagi kluster baharu Covid-19 dikenal pasti membabitkan pekerja pembinaan di Setia Alam, Selangor.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster itu dikesan 6 Mei lalu selepas pihaknya menerima laporan daripada hospital swasta.

Laporan itu mengesahkan tiga individu positif wabak berkenaan selepas menjalani saringan sebelum kembali memulakan pekerjaan.

“Ketiga-tiga kes positif itu membabitkan warga Bangladesh yang berkongsi tempat kediaman dengan 18 individu lain.

“Susulan itu, siasatan dan saringan bagi kontak rapat ketiga-tiga kes sudah dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan petang ini.

Dr Noor Hisham berkata, sehingga pukul 12 tengah hari tadi, 28 individu berkaitan kluster itu disaring dan 12 disahkan positif wabak berkenaan.

“Sembilan kes pula didapati negatif dan tujuh kes masih menunggu keputusan.

“Punca jangkitan kluster ini juga masih dalam siasatan,” katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, pihaknya mengesan pertambahan 28 kes baharu pandemik itu membabitkan kluster Pedas, Negeri Sembilan, setakat pukul 12 tengah hari ini.

Berikutan itu, kluster berkenaan merekodkan 88 kes positif, katanya.

“Kes positif kluster ini membabitkan 81 kes bukan warganegara iaitu 33 kes warga Nepal; 26 kes warga Bangladesh; 11 kes warga Indonesia dan 11 kes warga Myanmar.

“Punca jangkitan bagi kluster ini masih dalam siasatan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas