Berita

Cubaan Azmin bentuk kerajaan pintu belakang gagal, rakyat Sabah, Sarawak tak akan terima

|
- Diterbit 24 Februari 2020 7:24 AM MYT

PUTRAJAYA – Tindakan Datuk Seri Azmin Ali mengumpulkan Ahli Parlimen pembangkang dari UMNO dan Pas bagi meraih sokongan membentuk kerajaan ‘pintu belakang’ adalah pengkhianatan jelas terhadap mandat yang diberikan rakyat kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Timbalan Ketua Pemuda Amanah Nasional, Shazni Munir Mohd. Ithnin mendakwa, Azmin juga terang-terangan mensabotaj PH yang baru sahaja beberapa hari mengadakan mesyuarat dan mencapai kesepakatan menyerahkan keputusan peralihan kuasa kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Namun kata beliau, Azmin dengan penuh tidak bertanggungjawab telah menyusun untuk bekerjasama dengan UMNO dan Pas.

“Azmin perlu menghormati mandat rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14). Rakyat memberi mandat kepada PH membentuk kerajaan dan membawa Malaysia yang lebih baik.

“Sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi, beliau seharusnya sedar bahawa tanggungjawab yang digalas itu penting demi pembaikan negara,” katanya.

Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak petang ini mengisytiharkan keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PH bersama 10 lagi Ahli Parlimen dari parti tersebut bagi membentuk sebuah blok bebas di Parlimen.

Shazni Munir berkata, kerajaan pintu belakang yang cuba dibentuk oleh Azmin, UMNO dan Pas ini juga gagal kerana Pas tidak diterima masyarakat Sabah dan Sarawak.

“Tanpa Warisan dan GPS (Gabungan Parti Sarawak), perancangan kerajaan pintu belakang ini telah menemui jalan buntu.

“Lantas kami, Pemuda Amanah akan berpegang teguh dan setia mempertahankan mandat rakyat ini,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas