Utama

ABIM tolak pengkhianatan terhadap mandat rakyat

- Diterbit 24 Februari 2020 7:28 AM MYT

PUTRAJAYA – Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyifatkan gabungan baharu parti-parti politik tertentu secara ‘pintu belakang’ sebagai pengkhianatan kepada aspirasi rakyat yang mahukan perubahan.

Tegas Presidennya, Muhammad Faisal Abdul Aziz, pemimpin kleptokrat yang ditumbangkan rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu, kini direncanakan kembali untuk meneraju kerajaan tanpa ‘mandat rakyat’ yang sah.

Malah beliau dengan lantang menyatakan pihak berkepentingan sengaja mensabotaj perancangan kerajaan Persekutuan yang dipilih rakyat selain dilihat sebagai menolak perubahan kepada sistem yang lebih telus dan baik.

“Usia kerajaan Persekutuan yang baharu pasca-PRU14 belum lagi mencecah dua tahun dan inisiatif perubahan ke arah kebaikan serta penambahbaikan terhadap tadbir urus, ketelusan, integriti serta penyeimbangan dan penurunan kuasa eksekutif yang masih belum berada pada tahap memuaskan disabotaj pihak berkepentingan.

“Apa yang berlaku pasti akan menjadi sejarah hitam kepada sejarah politik negara, apabila hasrat rakyat yang mahukan perubahan disia-siakan,” katanya.

Muhammad Faisal turut menyatakan tindakan yang dilakukan golongan terbabit sebagai tidak mengumpamakan rakyat yang ternyata mengharapkan tidak timbul sebarang langkah ‘politicking’ selepas berakhirnya Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) pada Jumaat lalu.

Jelasnya, rakyat mahukan kerajaan memberi tumpuan kepada usaha pembangunan negara dan reformasi institusi di samping memfokuskan kepada pertumbuhan ekonomi secara holistik.

Namun, katanya, tanpa sebarang sebab yang kukuh, langkah ‘politicking’ seperti yang dipamerkan para politikus Malaysia semalam, adalah suatu yang jelas tidak bermoral dan melanggar konsensus nasional.

“Jika perancangan ‘pintu-belakang’ ini berlaku, pastinya akan berlaku konflik berterusan yang menyebabkan kondisi sosio-politik negara terus terumbang-ambing dan tidak stabil.

“Malah, negara juga semakin bergoncang jika rejim kleptokrat diangkat semula, seterusnya menjauhkan lagi para pelabur daripada kerajaan yang tidak dipercayai,” tegasnya yang turut berharap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menangguhkan sebarang usaha ‘pintu-belakang’ sehingga 9 Mac ini iaitu apabila sidang parlimen bermula. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas