Berita

COVID: Malaysia rekod kematian tertinggi 135 kes, 8,868 kes baharu

JUMLAH keseluruhan kematian di negara sebanyak 5,903 kes atau 0.73 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. Gambar - twitter Tan Sri Noor Hisham Abdullah
- Diterbit 8 Julai 2021 12:58 PM MYT

MALAYSIA mencatatkan kematian harian tertinggi hari ini sejak penularan COVID-19 di negara ini dengan 135 kes dilaporkan dalam tempoh 24 jam lepas.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata pertambahan kes itu menjadikan jumlah keseluruhan kematian di negara ini sebanyak 5,903 kes atau 0.73 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Beliau berkata kes kematian itu membabitkan 119 warganegara, manakala 16 lagi warga asing sekali gus mengatasi angka kematian tertinggi sebelum ini yang dilaporkan pada 2 Jun lepas iaitu 126 kematian.

Sementara itu, angka jangkitan kes baharu COVID-19 hari ini melonjak naik kepada 8,868 kes daripada 7,097 kes yang dicatatkan semalam, menjadikan kumulatif kes mencecah 808,658.

Menerusi perkongsian di Twitter, Dr Noor Hisham memaklumkan Selangor melaporkan kes harian tertinggi iaitu 4,152 kes diikuti Kuala Lumpur (1,133); Negeri Sembilan (897); Johor (336); Sarawak (281) dan Sabah (279).

Dalam kenyataannya pula, Dr Noor Hisham berkata daripada 8,868 kes baharu dilaporkan hari ini, 8,858 kes adalah penularan tempatan membabitkan 6,867 warganegara dan 1,991 bukan warganegara manakala 10 kes import pula membabitkan lima warga tempatan dan lima warga asing.

“Jumlah kes sembuh pula ialah 5,802 menjadikan angka keseluruhan individu pulih daripada pandemik itu kini 725,480 atau 89.7 peratus, sekali gus menjadikan jumlah kes aktif setakat ini adalah 77,275,” katanya.

Sementara itu Dr Noor Hisham berkata jumlah pesakit COVID-19 yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah 952 orang dengan 445 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Kementerian Kesihatan (KKM) turut mengesan 29 lagi kluster baharu membabitkan 19 kluster tempat kerja, lapan kluster komuniti dan masing-masing satu kluster kumpulan berisiko tinggi iaitu Jalan Ria, Johor serta kluster pendidikan tinggi melibatkan Jalan Jenderam Hulu, Selangor.

Kluster tempat kerja melibatkan Jalan Radin Dua, Jalan Medan Putra, Taman Perusahaan Kepong dan Tapak Bina Jalan Sri Permaisuri (Kuala Lumpur); Putra Dua (Putrajaya, Kuala Lumpur dan Selangor) ; Industri Jaya Sungai Buloh, Industri Sungai Lalang dan Tapak Bina Jenderam Hilir (Selangor); Industri Bunga Tanjung, Industri Sendayan Metropark serta Industri Emas Satu (Negeri Sembilan).

Kluster tempat kerja turut dikesan di Jalan Daiman, Jalan Harmonium 33 dan Industri Bakri Empat (Johor); Jalan Tanah Putih dan Jalan Gebeng 1/11 (Pahang); Industri Jalan Stapunal di Kelantan; Lebuh Pantai Baru di Perak serta Dah 90 Industri Sungai Petani di Kedah.

Kluster komuniti melibatkan Taman Tanjung Mas dan Kampung Batu 8 1/4 (Kelantan); Kampung Istimewa 2 dan Lumadan (Sabah); Bandar Baru Sentul 2 di Kuala Lumpur; Sega di Sarawak; Taman Tasek Solok Dua di Perak serta Titian 2 di Labuan.

Dalam pada itu Dr Noor Hisham berkata Putrajaya mencatat nilai Rt tertinggi setakat semalam iaitu 1.22, mengatasi nilai Rt negara iaitu 1.07.

“Negeri-negeri lain yang mencatatkan RT melebihi 1.0 adalah Kuala Lumpur (nilai Rt 1.15), Pahang (nilai Rt 1.13), Selangor (nilai Rt 1.12), Melaka (nilai Rt 1.11), Kedah (nilai Rt 1.07), Sabah (nilai Rt 1.06), Perak (nilai Rt 1.03), Negeri Sembilan (nilai Rt 1.02), dan Pulau Pinang (nilai Rt 1.01),” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas