Artikel

Covid-19: Tiada lagi kejutan sahur ayah, kakak pula masih di hospital

KENANGAN Syahirah (depan) bersama ayah (belakang, tiga kiri) dan keluarga tersayang pada Syawal tahun lalu.
- Diterbit 21 April 2020 12:29 PM MYT

KEHILANGAN ahli keluarga tentunya amat memeritkan malah lebih memilukan apabila kita tidak berpeluang berada di sisi, saat insan tersayang menghembuskan nafas terakhir.

Itu memori yang tidak dapat dilupakan sampai bila-bila oleh Syahirah Idris, 26, apabila bapa tersayang, Idris Atan, 58, pergi dijemput Ilahi pada 21 Mac lalu akibat jangkitan virus Covid-19.

“Semuanya berlaku terlalu pantas, kami seolah masih bermimpi melihat ayah di sisi. Yang pasti sehingga saat ini, pemergiannya masih ditangisi,” ujar anak kedua daripada tiga orang adik-beradik ini.

Menceritakan detik-detik kehilangan bapanya, menurut Syahirah, kali terakhir dia bertemu bapa ketika pihak ambulans mengambil Allahyarham di rumah mereka pada 18 Mac lalu.

“Waktu itu, kesihatan ayah merosot dan dia sesak nafas. Itulah kali terakhir kami bertemu sebelum dia dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Kemudian dua hari selepas itu, saya dan kakak pula disahkan positif. Kami juga dimasukkan ke hospital yang sama,” ujarnya kepada Wilayahku.

Ceritanya lagi, biarpun berada di hospital yang sama, namun dia tidak berkesempatan melihat jenazah bapanya ketika insan kesayangannya itu meninggal dunia.

“Bayangkan bila kita tidak berpeluang melihat bapa kita kali terakhir, hanya air mata dan doa sahaja yang mampu mengiringi pemergiannya sehingga ke hari ini.

“Waktu itu, hanya adik bongsu sahaja yang boleh melihat sebentar untuk proses pengecaman. Mujurlah adik dan ibu tidak dijangkiti virus tersebut,” ujarnya sambil menjelaskan mereka dijangkiti virus daripada saudara yang merupakan kluster tabligh.

Pun begitu, tambah menyedihkan sehingga kini kakaknya masih lagi ditahan di wad.

“Saya cuma berada lapan hari sahaja di wad berbanding kakak yang masih lagi mendapatkan rawatan. Saya sentiasa berdoa agar kakak cepat sembuh juga,” ujarnya.

Berkongsi sambutan Ramadan yang tinggal beberapa hari sahaja lagi, Syahirah tidak dapat menahan air mata apabila terkenangkan arwah bapanya.

“Setiap kali tibanya Ramadan, dia yang paling seronok sekali. Kali ini tiada lagi ayah kejutkan kami adik-beradik untuk bangun sahur dan membawa balik bubur lambuk Kampung Baru untuk juadah berbuka,” ujarnya sayu.

Sungguh pun kehilangan tempat bergantung, namun menurutnya mereka masih bersyukur kerana mempunyai ibu untuk berkongsi kasih.

“Kami akan jaga ibu baik-baik kerana dia juga sangat terkesan dengan kehilangan ayah,” ujar Syahirah.

Dalam kesedihan mereka sekeluarga, anak kelahiran Kuala Lumpur ini sempat berterima kasih kepada semua pihak yang banyak membantu keluarga mereka termasuklah Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr. Annuar Musa dan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) atas sumbangan bantuan Khairat Kematian Covid-19 sebanyak RM2,500 baru-baru ini. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas