Berita

Covid-19: Pesta Buku Antarabangsa KL 2020 ditangguh

|
- Diterbit 6 Mac 2020 8:15 AM MYT

KUALA LUMPUR – Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2020 yang dijadual berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini pada 27 Mac hingga 5 April ini terpaksa ditangguh dipercayai susulan peningkatan jangkitan wabak Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Induk PBAKL 2020, Mohd. Khair Ngadiron berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Induk PBAKL 2020 hari ini sebulat suara memutuskan agar program tersebut ditangguhkan sehingga satu tarikh yang akan ditetapkan kelak.

Bagaimanapun beliau berkata, PBAKL 2020 dalam talian akan dilancarkan dan berlangsung pada tarikh yang sama iaitu pada 27 Mac hingga 5 April ini.

Sementara itu, di PUTRAJAYA, Fiesta Belon Udara Panas Antarabangsa Putrajaya 2020  yang sepatutnya diadakan pada 19 hingga 22 Mac ini turut ditangguhkan ekoran wabak tersebut.

Pihak penganjur AKA Balloon Sdn. Bhd. dan Perbadanan Putrajaya mengambil keputusan itu bagi mengutamakan kesihatan dan keselamatan orang awam, juruterbang, vendor, pembekal, petugas dan ahli keluarga mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif AKA Balloon, Nur Izzati Kharuddin berkata, perkara itu merupakan satu keputusan yang sukar memandangkan fiesta itu merupakan acara tahunan yang ditunggu-tunggu.

“Bagaimanapun, selepas mengambil sepenuh pertimbangan, wabak Covid-19 yang berlaku secara global membuatkan mustahil buat masa ini untuk membuat jangkaan skala wabak itu menjelang penganjuran program tersebut.

“Ini termasuk peningkatan pergerakan rentas sempadan membabitkan pengunjung, juruterbang dan petugas,” katanya.

Fiesta tersebut melibatkan 25 belon udara panas dari 13 buah negara. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas