Berita

Bangunan ikonik seni bina Melayu

- Diterbit 6 Mac 2020 8:48 AM MYT

Selepas Muzium Negara, tidak ada bangunan ikonik reka bentuk tradisi Melayu didirikan hinggalah Bank Bumiputera membina bangunan baharunya di Jalan Melaka yang kini dikenali sebagai Menara Bumiputera.

TERDAPAT enam bangunan ikonik yang menggambarkan ciri seni bina Melayu di Kuala Lumpur. Apabila dikatakan ciri seni bina Melayu, maka tumpuannya adalah pada bumbungnya, berbanding bahagian lain.

Paling awal yang didirikan adalah bangunan Muzium Negara. Ini diikuti dengan Menara Bumiputera yang asalnya merupakan bangunan ibu pejabat Bank Bumiputera.
Kemudian disusuli dengan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Istana Budaya, Balai Seni Negara dan bangunan yang kini menempatkan Hotel Royal Chulan.

Bangunan Muzium Negara yang reka bentuknya berasaskan pada istana-istana lama raja-raja Melayu termasuk bumbung Minangkabau mula dibina pada tahun 1959 dan siap dibina pada pada tahun 1963.

Oleh kerana bangunan ini dirasmikan pada 31 Ogos 1963, maknanya ia didirikan pada masa Persekutuan Tanah Melayu. Maknanya pada masa pembukaannya yang dilakukan oleh Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman, bahan pamerannya datang dari seluruh Malaya.

Hanya apabila setelah Malaysia ditubuhkan pada 16 September 1963, barulah bahan-bahan pamerannya datang dari seluruh Malaysia.
Tapak bangunan Muzium Negara asalnya menempatkan bangunan Muzium Negeri Selangor. Ia ditubuhkan oleh pentadbiran kolonial yang sudah menjadikan Kuala Lumpur sebagai pusat pentadbiran negeri.

Oleh kerana ia dikuratorkan oleh pentadbiran kolonial British, maka tentulah bahan pameran itu mencerminkan citra mereka. Konsep muzium adalah ciptaan Barat dan merupakan institusi penting dalam kerangka imperialisme mereka.

Maka Muzium British di London merupakan induk bagi semua muzium dalam Empayar British. Di Malaya, muzium pertama didirikan di Taiping, Perak. Kemudian ia merupakan institusi penting di Singapura dan Pulau Pinang. Lantaran itu, seni bina Muzium Negeri Selangor juga berupa reka bentuk Barat. Dalam Internet, ada gambar muzium ini.

Ketika Jepun menakluk Malaya pada Perang Dunia Kedua, mereka tidak mengusik muzium ini. Tetapi ketika pertempuran untuk menakluk kembali Malaya, pesawat Tentera Udara Diraja (RAF) British mengebom Kuala Lumpur dan antaranya memusnahkan sebahagian daripada sayap bangunan itu. Pengeboman itu dilaporkan sebagai satu kesilapan. Maka ada bahan-bahan pameran turut termusnah.

Apabila British kembali ke Malaya, mereka memindahkan bahan-bahan pameran yang terselamat itu ke Muzium Perak di Taiping. Apabila Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, kerajaan pada tahun 1959 membuat keputusan untuk membina Muzium Negara.

Identiti

Ia hendak dijadikan salah satu institusi identiti negara baharu ini. Muzium Negara akan menjadi ikonik seperti juga Masjid Negara, Istana Negara, Stadium Negara, Tugu Negara, Bank Negara dan Zoo Negara.

Maka struktur yang tinggal sebagai Muzium Negeri Selangor itu dirobohkan dan di atasnya dibina bangunan baharu. Setelah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur diwujudkan, Muzium Negeri Selangor dibina di Shah Alam.

Tetapi antara bangunan-bangunan ikonik itu, hanya Muzium Negara menggunakan reka bentuk bumbung Melayu. Masjid Negara menggunakan reka bentuk baharu modenis unik Malaysia.
Bangunan Istana Negara lama adalah bekas rumah tauke yang reka bentuknya adalah neo-klasik seperti mana bangunan Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH).
Stadium Negara juga modenis Malaysia seperti Bangunan Parlimen, Wisma Putra dan Angkasapuri. Juga serupa dengan Tugu Negara tetapi ia mempunyai kubah kuning.

Bank Negara mempunyai reka bentuk modenis Malaysia seperti Dewan Tuanku Canselor Universiti Malaya. Zoo Negara seperti Lapangan Terbang Subang juga adalah reka bentuk modenis Malaysia.

Muzium Negara merupakan bangunan pertama Kuala Lumpur yang meletakkan reka bentuk tradisi Melayu pada bumbungnya. Bangunan-bangunan ikonik kolonial di Kuala Lumpur sebelum itu berupa reka bentuk Moorish-Moghul yang digubah menjadi ciri Malaya. Antara bangunan di Kuala Lumpur itu adalah Masjid Jamek Kuala Lumpur, Stesyen Keretapi, Ibu Pejabat Malayan Railway, Sekretariat Negeri Selangor dan Dewan Bandar.

Selepas Muzium Negara, tidak ada bangunan ikonik reka bentuk tradisi Melayu didirikan hinggalah Bank Bumiputera membina bangunan baharunya di Jalan Melaka yang kini dikenali sebagai Menara Bumiputera.

Penulis hadir pada perasmian bangunan ini pada awal 1980-an sebagai pemberita. Ia dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad. Ia dibina ketika Tengku Razaleigh Hamzah adalah Menteri Kewangan. Beliau berperanan besar dalam penubuhan Bank Bumiputera.

Reka bentuk Melayu jelas pada podium bangunan ini, yang ketika itu dijadikan dewan urus perbankan. Pada perasmiannya, para hadirin dibawa melawat dalam bangunan itu. Penulis turut membuka akaun Bank Bumiputra dan sering melakukan transaksi di dewan yang hebat di bangunan itu. Reka bentuknya berasaskan pada bangunan tradisional Kelantan.

Niaga

Bank Bumiputera ditubuhkan daripada hasil Kongres Ekonomi Bumiputera pada tahun 1965, iaitu selepas tujuh tahun Tanah Melayu merdeka. Ketika itu orang Melayu tidak berpuas hati dengan pencapaian ekonomi mereka. Ia seharusnya merupakan Bank Melayu.

Namun oleh kerana ketika itu Malaysia sudah ditubuhkan, maka ia sesuai disebut sebagai Bank Bumiputera yang turut menampung pribumi Sarawak dan Sabah.
Bank Bumiputera diwujudkan untuk membolehkan ahli-ahli perniagaan Bumiputera dapat kemudahan pinjaman untuk memajukan usaha mereka. Ini kerana mereka berasa sukar untuk mendapatkan kemudahan perkhidmatan kewangan daripada bank-bank sedia ada.

Pada tahun 1966, Tunku merasmikan bangunan moden Bank Bumiputera di Lebuh Ampang. Apabila Bank Bumiputera berpindah ke bangunan baharu di depannya, bangunan lama ini disewakan pada syarikat-syarikat lain. Kini ia menempatkan Amanah Raya.

Bangunan ikonik seni bina Melayu selanjutnya adalah Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Bangunan tingginya bernama Menara Dato’ Onn. Bangunan dewannya mempunyai bumbung reka bentuk tradisional Melayu khususnya dari Kelantan. Bangunan ini dirasmikan pada tahun 1985.

Seterusnya, bangunan berciri reka bentuk Melayu iaitu Istana Budaya dan Balai Seni Negara juga mempunyai kisah tersendiri yang tidak cukup ruang untuk ditulis di sini.

Cuma bangunan Hotel Royale Chulan terletak di kawasan yang pernah dicadangkan untuk didirikan tiga seni bina reka bentuk Melayu di tengah-tengah segi tiga emas Kuala Lumpur. Ia adalah pusat kraf, restoran Melayu dan hotel Melayu. Ketiga-tiga cadangan itu mempunyai kisah menarik yang perlu diceritakan pada waktu lain.

  • Zin Mahmud merupakan wartawan veteran yang telah berkhidmat lebih 30 tahun dalam industri persuratkhabaran, majalah dan buku. Pernah menjadi Pengarang Mingguan Malaysia, Pengarang Kumpulan Harakah dan Pengarang Berita Harian Watan.
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas