Berita

Awas iklan palsu ejen hartanah jual RUMAWIP

INILAH contoh iklan palsu RUMAWIP yang dimuat turun ejen hartanah melalui laman Facebook.
- Diterbit 6 Mac 2020 7:28 AM MYT

PUTRAJAYA – Orang ramai diseru agar berhati-hati dan tidak terpengaruh dengan iklan-iklan palsu yang memaparkan tawaran projek perumahan RUMAWIP (Residensi Wilayah).

Ketua Setia­usaha Kementerian Wilayah Per­sekutuan, Datuk Rosida Jaafar berkata, pihak kementerian telah menerima aduan daripada orang ramai mengenai isu iklan palsu tersebut.

“Ingin ditegaskan bahawa pihak kementerian tidak pernah melantik mana-mana individu atau pihak sebagai ejen untuk permohonan Residensi Wilayah (RUMAWIP) semenjak dasar ini diperkenalkan pada 8 April 2013.

“Sindiket penipuan yang menawarkan rumah mampu milik dengan harga yang rendah ini menggunakan logo kementerian dan logo RUMAWIP sehingga menge­lirukan pembeli,” katanya da­lam satu ke­nyataan di sini baru-baru ini.

ROSIDA

Rosida berkata, sindiket ini juga mengeluarkan surat permohonan palsu dengan menggunakan kepala surat kementerian dan tandatangan pegawai yang palsu.

Tegas beliau, sebarang permohonan RUMAWIP yang kini dikenali sebagai Residensi Wilayah hanya boleh dimohon melalui portal rasmi Residensi Wilayah iaitu di https://residensiwilayah.kwp.gov.my/ yang boleh diakses melalui laman web rasmi kementerian di www.kwp.gov.my/.

“Setelah dijenamakan se­­­mula kepada Residensi Wi­layah, Kementerian Wilayah Per­sekutuan tidak lagi menggunapakai jenama RUMAWIP da­lam segala urusan yang berkaitan Rumah Mampu Milik di Wilayah Persekutuan,” kata­nya.

Dalam hal ini, beliau memberitahu, mana-mana individu yang berminat untuk membeli unit kediaman Residensi Wilayah perlu membuat permohonan melalui portal rasmi Residensi Wilayah.

“Setelah permohonan di­hantar pemohon akan menerima notifikasi melalui emel di alamat emel yang telah didaftarkan oleh pemohon.
“Segala urusan permohonan termasuk surat menyurat adalah melalui janaan sistem dan atas talian. Notifikasi tawaran juga akan dihantar melalui emel yang didaftarkan oleh pemohon.

Beliau menjelaskan, me­n­gikut Peraturan-Peratur­an Pe­maju­­an Perumahan (Kawalan Dan Pelesenan) 1989, tiada se­barang bentuk kutipan wang boleh dilakukan oleh pemaju daripada pemohon termasuklah kutipan yuran komitmen sebelum menandatangani perjanjian jual beli.

Sekiranya terdapat maklumat yang meragukan ber­hubung sesuatu iklan projek pembangunan Residensi Wilayah, orang ramai boleh menghubungi Unit Pembangunan Residensi Wilayah, Bahagian Sosio Ekonomi bawah Kementerian ini di tali­an 03-8000 8000 atau e-mel [email protected].

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas