Berita

PDRM, RELA diberi kuasa ‘Perintah Kawalan Pergerakan’

KEADAAN di Jalan TAR yang tenang.
KEADAAN di Jalan TAR yang tenang.
- Diterbit 18 Mac 2020 5:38 AM MYT

PUTRAJAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dilantik sebagai pegawai yang diberi kuasa di bawah Seksyen 3 Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) sejajar dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan akibat wabak Covid-19 hari ini.

Majlis Keselamatan Negara Jabatan Perdana Menteri (MKN) dalam satu kenyataan memaklumkan, kuasa yang diberikan itu bagi melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang diwartakan hari ini.

“Bagi meningkatkan lagi keberkesanan Perintah Kawalan Pergerakan ini, orang ramai dinasihatkan supaya berada di rumah sepanjang masa kecuali untuk memenuhi keperluan-keperluan asas.

“Selain itu, amalkan penjarakan sosial (social distancing) dari orang sekeliling demi mengelakkan jangkitan Covid-19,” katanya.

Kenyataan itu turut menyatakan, orang ramai yang mempunyai pertanyaan lanjut, boleh menghubungi Pusat Pengurusan Operasi Negara, Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri di talian 03-8888 2010.

Dalam pada itu, kenyataan memaklumkan, lanjutan daripada pengisytiharan tersebut, langkah-langkah susulan telah diambil bagi menyelaras dan memperincikan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

MKN juga telah mengadakan mesyuarat penyelarasan antara agensi kerajaan (semalam) untuk memperincikan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan agar Perintah tersebut dapat berjalan dengan baik dan lancar.

“Untuk memastikan keperluan orang ramai kepada perkhidmatan-perkhidmatan asas tidak terjejas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini berkuat kuasa, perkhidmatan-perkhidmatan dibenarkan beroperasi. – WILAYAHKU

 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas