Berita

21 pemain badminton negara negatif Covid-19

- Diterbit 21 Mac 2020 3:20 PM MYT

KUALA LUMPUR – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam satu kenyataan memaklumkan kesemua 21 orang pemain termasuk empat orang pemain profesional dan tujuh orang jurulatih negara yang baru pulang dari Kejohanan Badminton Seluruh England 2020 di Birmingham, England baru-baru ini negatif Covid-19.

Menurut kenyataan tersebut BAM akan terus berhubung rapat dengan badan berkaitan bagi memastikan langkah bertepatan dapat diambil mengikut segala garis panduan yang sudah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Ia termasuklah latihan yang dilakukan pemain secara bersendirian agar tidak melanggar arahan yang ditetapkan kerajaan.

“Ujian saringan dilakukan oleh pakar daripada Institut Sukan Negara (ISN) dan Majlis Sukan Negara (MSN) bagi memastikan semua pemain berkenaan berada dalam keadaan sihat,” ujar kenyataan itu.

Difahamkan kesemua pemain negara kecuali pemain profesional menjalani kuarantin di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara sejurus tiba dari Birmingham.

Antara pemain dan pegawai yang menjalani proses kuarantin di ABM termasuk pemain perseorangan negara, Lee Zii Jia; beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik; jurulatih perseorangan, Hendrawan; jurulatih beregu lelaki, Paulus Firman dan Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas