Berita

Covid-19 : DBKL tutup premis, gantung perkhidmatan

|
- Diterbit 17 Mac 2020 1:58 PM MYT

KUALA LUMPUR- Susulan tindakan kerajaan untuk mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan berikutan penularan wabak Covid-19, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil langkah proaktif dengan menutup premisnya bermula esok hingga 31 Mac ini.

DBKL dalam satu kenyataannya berkata, tindakan tersebut diambil selepas akur dengan arahan kerajaan melalui perutusan khas yang disampaikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yaasin semalam yang mengambil langkah pencegahan terhadap penyebaran wabak tersebut.

“Sehubungan itu, DBKL akan menutup premis dan perkhidmatan yang meliputi semua pejabat-pejabat DBKL, Dataran Merdeka, dewan serbaguna dan dewan komuniti, kompleks sukan, Perpustakaan Kuala Lumpur, Perpustakaan cawangan dan bergerak, tandas-tandas awam di bawah seliaan DBKL, taman-taman awam dan juga kerja-kerja di tapak binaan.

“Selain itu, antara perkhidmatan yang ditutup adalah perkhidmatan kaunter bayaran perumahan, pelesenan dan pusat sehenti (OSC) serta perkhidmatan suntikan tifoid dan menigitis,” katanya.

Kenyataan itu turut memaklumkan, dalam  tempoh penutupan tersebut, orang ramai boleh menyalurkan aduan berkaitan perumahan ke Bilik Gerakan DBKL(Perkhidmatan) di talian, 03-92263112, 03-92261312 dan 03-92261222.

Katanya, bagi aduan kecemasan pula, boleh hubungi talian, 03-40244424,03-40267222 atau layari portal, http://ispaaadbkl.dbkl.gov.my atau emel ke [email protected]. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas