Berita

Pemilik pusat hiburan diminta ‘berkorban’

ANNUAR (kiri) melihat model Putrajaya ketika mengadakan lawatan kerja di PPj hari ini.
- Diterbit 17 Mac 2020 2:14 PM MYT

PUTRAJAYA- Semua pihak termasuk pemilik pusat hiburan dan peniaga pasar malam diminta untuk ‘berkorban’ dan tidak menjalankan perniagaan mereka seperti biasa sebagai usaha bersama untuk mengekang penularan wabak Covid-19.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, semua pihak diminta untuk mematuhi arahan kerajaan yang akan menguatkuasakan Larangan Pergerakan Terhad susulan peningkatan kes tersebut.

“Kita mohon mereka memberikan kerjasama kepada kerajaan untuk menutup perniagaan mereka kerana kita mahu mengurangkan masyarakat berkumpul.

“Dari segi penguatkuasaan, memang ada. Namun kita tidak cukup pegawai penguat kuasa untuk mengawal keadaan ini,” katanya.

Annuar berkata, pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dibuat demi kepentingan awam bagi mengelakkan keadaan menjadi semakin tidak terkawal.

“Dalam usaha untuk membendung penularan wabak berkenaan, masyarakat juga bertanggungjawab untuk mengawal penularannya dari terus berlaku.

“Mungkin ada yang menganggap ini situasi biasa namun kerajaan mengambil langkah awal untuk mengelak situasi buruk daripada berlaku.

“Kita tidak mahu berlakunya kejadian di mana hospital tidak lagi mampu menampung pesakit virus berkenaan seperti yang sudah berlaku di beberapa negara,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja di Perbadanan Putrajaya (PPj) di sini hari ini.

Hadir sama Timbalannya, Datuk Seri Dr. Santhara Kumar, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Rosida Jaafar dan Presiden PPj, Datuk Dr. Aminuddin Hassim.

Dalam pada itu, Annuar berkata, Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) akan memastikan semua agensi di bawah kementeriannya mematuhi sepenuhnya perintah tersebut.

“Kesemua agensi-agensi ini akan menutup operasi mereka, dan saya hendak 100 peratus ‘compliance’ dengan arahan kerajaan seperti yang telah diputuskan.

“Ini termasuklah kawasan tumpuan pelancong. Taman-taman awam juga akan ditutup selaras dengan arahan tersebut,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas