Berita

Covid-19: 78 kes baharu, 28 kes import

PETUGAS perubatan melakukan ujian saringan Covid-19 ke atas kakitangan Parlimen.
- Diterbit 22 Mei 2020 10:22 AM MYT

PUTRAJAYA – Sebanyak 78 kes baharu Covid-19 dilaporkan hari ini dengan 28 darinya kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 53 kes dikesan dari penularan tempatan.

“Dari jumlah itu, 40 kes membabitkan warga asing dengan 25 kes dikesan di Depot Tahanan Imigresen di Bukit Jalil.

“Ia menjadikan jumlah kumulatif kes baharu sebanyak 7,137 kes dan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan sebanyak 1,163 kes,” katanya dalam sidang akhbar harian di sini hari ini.

Setakat pukul 12 tengah hari tadi, 63 kes disahkan pulih dan dibenarkan keluar hospital.

Jumlah itu menjadikan pesakit sembuh mencecah 5,859 kes iaitu 82.1 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Sembilan pesakit kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU L) dan lima darinya memerlukan bantuan pernafasan.

“Terdapat pertambahan satu kes kematian membabitkan lelaki warga emas berusia 65 tahun.

“Mangsa menghidap kencing manis, darah tinggi dan buah pinggang. Dia dirawat di Hospital Sungai Buloh disahkan meninggal dunia semalam,” katanya.

Kematian itu menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 115 kes iaitu 1.61 peratus dari jumlah keseluruhan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas