Berita

BAM akan pastikan SOP dipatuhi

KEM latihan bermula 1 Jun ini di ABM.
- Diterbit 22 Mei 2020 9:56 AM MYT

KUALA LUMPUR – Kelulusan terhadap permohonan cadangan kelonggaran khas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi program ‘Road to Tokyo’ (RTT) diterima baik oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam persiapan menjelang Olimpik Tokyo tahun hadapan.

Menurut Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, BAM akan memastikan semua prosedur operasi standard (SOP) di pusat kecemerlangan badminton negara dipatuhi sejajar dengan ketetapan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“BAM juga tidak akan berkompromi dalam melaksanakan langkah berhati-hati tambahan demi menjaga keselamatan sejumlah 56 orang terdiri daripada atlet, jurulatih, ‘sparring partner’ serta anggota sokongan dari pelbagai bidang yang akan memulakan kem latihan bermula 1 Jun ini di Akademi Badminton Malaysia (ABM),” ujarnya.

Norza juga berharap agar setiap atlet badminton yang terlibat dalam program RTT akan memanfaatkan peluang ini sebaik mungkin dalam memperkukuhkan persiapan pasukan bagi merealisasikan impian negara untuk layak ke Sukan Olimpik Tokyo.

Dalam pada itu, BAM juga turut merakamkan perhargaan kepada Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, MKN serta KKM atas kelulusan permohonan cadangan tersebut. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas