Berita

Kes Covid-19 boleh capai satu digit lepas Aidilfitri

Dengan syarat patuhi SOP semasa sambut perayaan
DATUK DR NOOR HISHAM ABDULLAH
- Diterbit 22 Mei 2020 10:30 AM MYT

 

PUTRAJAYA – Bilangan kes positif Covid-19 di negara ini dijangka boleh mencecah satu digit selepas dua minggu Aidilfitri, sekiranya masyarakat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sepanjang musim perayaan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, bilangan kes bagaimanapun mungkin boleh naik mendadak jika sebaliknya.

“Ia bergantung kepada kepatuhan kita (terhadap SOP). Kalau patuh, kita boleh kurangkan kes dan dalam tempoh dua minggu mungkin capai angka satu digit.

“Paling penting penjarakan sosial dan mencuci tangan selain mengelakkan aktiviti kunjung mengunjung sepanjang musim perayaan,” katanya dalam sidang akhbar harian di sini, hari ini.

Beliau berkata, peningkatan atau penurunan kes bergantung kepada kepatuhan masyarakat terhadap SOP.

“Kalau dari model yang kita lihat, jika patuh kepada SOP kes mungkin boleh mencapai angka satu digit tetapi jika sebaliknya ia boleh meningkat dengan mendadak.

“Kebimbangan kita adalah pada musim perayaan, sebab berdasarkan data dari luar negara, apabila musim perayaan dan masyarakat balik ke kampung, selepas dua minggu kita lihat kes meningkat mendadak.

“Mereka perlu pasti kurangkan atau elak sama sekali kunjung mengunjung ketika musim perayaan, jika lakukan kujungan patuhi SOP seperti penjarakan satu meter,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas