Utama

Wilayah Persekutuan benar rakyat berniaga untuk tambah pendapatan

- Diterbit 10 November 2020 9:21 AM MYT

PANDEMIK COVID-19 telah menyebabkan ramai yang hilang pekerjaan kerana itu Wilayah Persekutuan mengambil langkah ke hadapan dengan menjadikan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sebagai kawasan bebas berniaga selama enam bulan.

Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri TPr Annuar Musa berkata, peristiharan tersebut dilakukan setelah mengadakan perbincangan dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Mahadi Che Ngah dan serta pegawai yang terbabit.

“Dengan persetujuan PBT di Wilayah Persekutuan iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Putrajaya (PPj) dan Perbadanan Labuan (PL), Wilayah Persekutuan akan dikenali sebagai wilayah bebas berniaga atau wilayah galakan berniaga.

“Kita membenar dan menggalakkan rakyat untuk berniaga dan menjaja bagi menambah pendapatan. Kita juga akan memudahkan pengeluaran lesen dengan satu garis panduan yang akan dikeluarkan secara bertulis oleh DBKL beberapa hari lagi,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan gerai penjaja bergerak di Taman Desa di sini hari ini.

Orang ramai bebas berniaga bermula 15 November ini sehingga 15 April 2021.

Menurut Annuar, mereka yang berminat hanya perlu menghubungi PBT yang berkaitan untuk melaporkan jenis perniagaan dan lokasi perniagaan.

“Jika perlu PBT akan pergi melihat kawasan perniagaan pemohon bagi memastikan kawasan tersebut tidak menimbulkan halangan kepada lalulintas dan sebagainya. Mereka juga akan dibenarkan berniaga di tempat pilihan mereka.

“Lesen berniaga statik akan dikeluarkan dan kita masih perlu melesenkan kerana ia perlu direkodkan untuk kegunaan jangka masa panjang,” katanya.

Annuar berkata, warga Wilayah Persekutuan boleh membuat permohonan dan lesen sementara akan dikeluarkan secara automatik.

“Lesen akan dikeluarkan asalkan kawasan perniagaan itu tidak menimbulkan kacau ganggu dan peniaga dapat menjaga kebersihan kawasan perniagaan.

“Mereka juga dinasihatkan akan tidak menimbulkan aduan daripada orang awam seperti menghalang lalu lintas atau mengambil lot-lot parkir milik PBT,” katanya.

Katanya, bagi mereka yang mahu meneruskan perniagaan selepas tempoh enam bulan yang pertama, PBT akan menyelaraskan kembali peniaga-peniaga tersebut mengikut amalan PBT berkenaan.

“Sekiranya pada waktu tersebut PKPB ditamatkan, pihak PBT akan menyelaraskan semula kedudukan peniaga-peniaga ini mengikut cara biasa

“Mungkin mereka akan ditempatkan di lokasi yang lebih tersusun dan balik semula kepada cara yang biasa dilaksanakan oleh pihak PBT.

“Cuma dalam tempoh PKPB ini, kita jadikan satu fleksibiliti dan mempermudahkan,” katanya.

Beliau berkata keutamaan akan diberikan kepada warga Wilayah Persekutuan dan warga negara yang sah sahaja dibenarkan.

“Lesen boleh mohon sekarang dan di DBKL boleh memohon secara online manakala di PBT yang lain mereka boleh berhubung dengan PBT masing-masing.

“Jenis perniagaan ini terpulang kepada mereka dan boleh menjual apa sahaja,” katanya.

Sebelum ini, Annuar berkata hampir 2,000 lokasi niaga di sekitar ibu negara yang sebelum ini tidak dibenarkan berniaga akan dibuka kepada mereka yang hilang pekerjaan menjalankan perniagaan.

Menurut beliau, langkah fleksibel bagi membantu golongan tersebut.

“Kita menggap ia sebagai tempoh darurat terutama bagi mereka yang kehilangan mata pencarian secara tiba-tiba.

“Mereka boleh datang kepada DBKL dan lesen sementara akan di keluarkan untuk mereka berniaga,” katanya.

Beliau berkata, pada masa sama, mereka yang terjejas boleh mencadangkan lokasi kepada kementerian dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk dipertimbangkan.

“Dengan syarat, lokasi yang dipilih tidak menganggu ketenteraman orang awam, kawasan lalu lalang selain perlu memastikan tahap kebersihan di kawasan itu terjaga,” katanya. – OLEH AZLAN ZAMBRY

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas