Berita

‘Command centre’ beroperasi 24 jam bantu penduduk PKPD

ANNUAR menunjukkan poster mengenai talian hotline yang diedarkan kepada penduduk di sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur.
- Diterbit 23 April 2020 4:54 PM MYT

KUALA LUMPUR – Satu ‘Command Centre’ yang berasingan diwujudkan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di kawasan sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr. Annuar Musa berkata, perkara itu dilakukan selepas mengambil kira kawasan berkenaan mempunyai bilangan penduduk terlalu ramai berbanding kawasan PKPD yang lain.

“Majlis Keselamatan Negara (MKN) di atas perakuan Kementerian Kesihatan (KKM) telah membuat keputusan mengisytiharkan enam kawasan di sekeliling Pasar Borong Kuala Lumpur yang diletakkan di bawah PKPD.

“Berdasarkan kepada keputusan itu, ada Prosedur Operasi Standad (SOP) tertentu yang wajib dilaksanakan di kawasan termasuklah mewujudkan Command Centre yang khusus di sini yang diketuai oleh Ketua Polis Daerah (KPD) dan dikawal selia oleh Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri WP (JKKNWP),” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Pengurusan Krisis Pasar Borong Kuala Lumpur di sini hari ini.

Annuar yang juga Pengerusi JKKNWP memberitahu, mesyuarat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) harian peringkat menteri telah membuat satu keputusan untuk menambah baik mana-mana kelemahan ataupun kekurangan yang ada di kawasan PKPD ini.

Annuar yang juga Pengerusi JKKKNWP memaklumkan, pihaknya mewujudkan enam talian khusus di setiap blok kediaman penduduk bagi memudahkan mereka mendapatkan bantuan.

“Kalau penduduk terputus makanan atau mempunyai keperluan khusus seperti perubatan, maka mereka boleh menghubungi talian tersebut.

“Kita juga mempunyai Command Centre yang beroperasi 24 jam untuk melayani masalah-masalah yang khusus,” katanya.

Dalam pada itu, Annuar memberitahu, seramai kira-kira 1,000 petugas sedia membantu penduduk di kawasan tersebut. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas