Berita

Dua pelajar sekolah didakwa ingkar PKP

- Diterbit 23 April 2020 5:06 PM MYT

LABUAN – Sepasang pelajar sekolah dan dua individu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Wilayah Persekutuan (WP) Labuan ekoran melanggar Perintah Kawalan Pergerakan ( PKP ) semalam.

Ketua Polis Daerah WP Labuan Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata, pelajar berusia 17 tahun dan 15 tahun didakwa atas tuduhan melanggar PKP.

“Kes mereka akan disebutkan semula di mahkamah pada 10 Jun depan bagi mendapatkan Laporan Akhlak Kedua Pesalah Kanak-kanak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya menerusi kenyataan media.

Farid berkata, kedua-dua pelajar itu telah diikat jamin oleh ibu mereka sebanyak RM1,000 tanpa deposit.

Sementara itu, dua individu telah mengaku bersalah kerana didapati melanggar arahan PKP.

“Tertuduh pertama berusia 55 tahun dijatuhkan hukuman denda RM700 atau penjara dua minggu jika gagal membayar denda.

“Tertuduh kedua berusia 21 tahun dijatuhkan hukuman denda RM850 atau  penjara minggu jika gagal membayar denda,” katanya.

Menurut Muhamad Farid, kedua-dua individu itu mengaku bersalah dan kemudian membayar denda tersebut.

“Semua tertuduh didakwa di bawah Perkara 3(1) Peraturan- Peraturan Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit ( Langkah- langkah Di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan ) 2020,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas