Berita

Pelan pemulihan ekonomi dirangka

EKONOMI negara diharap dapat pulih secepat mungkin selepas tamat PKP. Gambar hiasan
- Diterbit 23 April 2020 2:43 PM MYT

PUTRAJAYA – Tan Sri Muhyiddin berkata, dengan kemungkinan pelanjutan tempoh Pergerakan Kawalan Pergerakan (PKP), kerajaan sedang mengkaji kaedah untuk memulihkan ekonomi secara bertahap.

Perdana Menteri berkata, langkah itu termasuk merangka Pelan Pemulihan Ekonomi jangka pendek dan sederhana bagi memastikan aktiviti ekonomi dapat dibangkitkan semula dengan pantas selepas tempoh PKP berakhir.

Sehubungan itu, Perdana Menteri telah mengarahkan Kementerian Kewangan dan Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri untuk merangka Pelan Pemulihan Ekonomi jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang yang menyeluruh.

“Tumpuan pada masa ini adalah untuk mengenal pasti langkah dan inisiatif yang akan merancakkan pertumbuhan ekonomi jangka pendek dan sederhana serta mendorong keyakinan rakyat dan pelabur untuk menjana semula ekonomi negara.

“Antara inisiatif yang sedang dirangka ialah membina keupayaan dan kemahiran rakyat, menggalakkan perbelanjaan domestik, meningkatkan daya tahan industri termasuk PKS, serta memupuk persekitaran pelaburan yang lebih positif untuk masa hadapan, kata beliau dalam perutusannya malam ini.

Menjawab persoalan yang bermain di fikiran rakyat, Muhyiddin memberikan bayangan bahawa syarikat-syarikat dalam sektor-sektor tertentu akan dibenarkan beroperasi tertakluk kepada pematuhan syarat yang mementingkan keselamatan pekerja, penjarakan sosial dan kebersihan tempat bekerja.

“Pada masa ini pun beberapa sektor ekonomi telah dibuka. Selepas ini, kerajaan akan menimbang untuk membuka beberapa sektor dan subsektor yang lain tertakluk kepada syarat-syarat yang ketat.

“Ini untuk menjamin syarikat terus berdaya saing dan para pekerja dapat terus bekerja dalam persekitaran yang selamat. Garis panduan serta syarat-syarat terperinci akan diberikan kepada para pelabur dan sektor korporat untuk memulakan operasi syarikat masing-masing,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas