Berita

“Baju Nikah Pun Kami Pinjam” – COVID-19 Bataskan Persiapan HUNNY MADU

|HUNNY dan suami sempat berbulan madu di Pulau Langkawi |
- Diterbit 10 Oktober 2020 3:04 AM MYT

PENGACARA dan penyanyi Hunny Madu mengesahkan sudah mendirikan rumah tangga buat kali kedua dengan jejaka Itali bergelar cef di ibu kota, Fedrighi Francesco pada 2 Mei lalu.

Majlis dilakukan secara atas talian memandangkan situasi pandemik COVID- 19 masih belum reda. 

Malah majlis pernikahan yang diadakan di kediaman keluarganya di ibu kota itu tidak membabitkan tetamu.

HUNNY Madu berkahwin buat kali kedua dengan jejaka Itali bergelar cef, Fedrighi Francesco pada 2 Mei lalu.

“Kami hanya maklumkan keputusan berkahwin ini kepada keluarga terdekat dan kawan rapat saja. 

“Majlis nikah itu memang begitu ringkas dan hanya disaksikan adik beradik, ibu bapa dan dua anak saya.

“Ustaz yang bertugas menjadi saksi pernikahan kami berada di lokasi berbeza.

“Baju nikah pun kami pinjam sebagai memenuhi syarat kerana keterbatasan waktu untuk menyiapkan yang baru. Cukup sebegitu untuk jadi memori kenangan saya dan suami,” kata Hunny yang berkenalan dengan suaminya sekitar awal January tahun lalu. 

Suaminya, Fedrighi memeluk  agama Islam sejak Februari lalu sudah menetap di Malaysia sejak Januari 2018.

Menurut Hunny atau nama sebenarnya, Hani Farhana Mohd Hatim, majlis resepsi sepatutnya diadakan bulan September lalu.

“Namun terpaksa ditunda kerana ada hal yang tak boleh saya kongsikan. InsyaAllah majlis yang dirancang itu akan diadakan pada masa yang lebih sesuai waktu mendatang,” katanya.

Pasangan ini juga sempat ke Pulau Langkawi untuk percutian keluarga yang turut membabitkan dua anaknya, Eva Medina, 8, dan Adam Musa, 3.

HUNNY dan suami sempat berbulan madu di Pulau Langkawi

Hunny juga memanjat kesyukuran kerana dipertemukan dengan suami yang disifatkan cukup baik kepada dirinya, anak serta keluarga.

“Saya bertuah ada dia. Dia buat saya bahagia. Semoga hubungan kami ini akan kekal sampai ke jannah. InsyaAllah,” katanya.

Dalam pada itu, Hunny juga ingin memohon maaf kepada pihak yang kurang senang  dengan gambar posnya di instagram bersama  suami yang dianggap keterlaluan.

“Semua itu timbul sebab ada yang tak tahu perkara sebenar yang saya dan dia sudah berkahwin. Sebab itu saya ambil kesempatan untuk meleraikan persoalan itu,” katanya.

Hunny sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan Khairul Azhar Abdul Wahid, namun menemui titik noktah pada Oktober 2018. Mereka berkahwin pada 2010. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas