Artikel

Mah Sing peroleh tanah bernilai RM94.8 juta

- Diterbit 25 Julai 2019 11:13 AM MYT

KUALA LUMPUR – Kumpulan Mah Sing memperoleh tanah seluas 2.21 hektar berhampiran Kepong Metropolitan Park, Kuala Lumpur bernilai RM94.8 juta untuk pembangunan pangsapuri servis mampu milik yang dikenali M. Luna.

Dalam kenyataannya baru-baru ini, Pengasas dan Pengarah Urusan kumpulan syarikat itu, Tan Sri Leong Hoy Kum berkata, tanah itu diperoleh dengan kebenaran pembangunan pangsapuri perkhidmatan dan projek itu mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira RM705 juta.

Pembangunan M Luna akan dilengkapi dua blok pangsapuri perkhidmatan dengan keluasan bangunan bermula 700 kaki persegi dan harga bermula dari­pada RM385,000 seunit.

Kata kenyataan itu lagi, pembeli hartanah ber­kenaan akan mempunyai akses kepada dua buah stesen Aliran Transit Massa (MRT) 2 berhampiran dan Jalan Kuching yang terletak pada jarak 2.3 kilometer dari tapak berkenaan.

“Perolehan itu akan meningkatkan simpanan tanah utama kumpulan kepada 851.46 hektar dengan jumlah keseluruhan GDV dan bil-bil yang belum dikutip sebanyak RM25.84 bilion, cukup untuk mengekalkan pertumbuhan dalam tempoh lapan hingga sembilan tahun akan datang,” kata pemaju perumahan itu.

Baru-baru ini, kumpulan itu juga memperoleh 1.87 hektar tanah untuk pembangunan M Oscar, satu lagi pangsapuri perkhidmatan terletak di Kuchai Lama.

Lembaran imbangan kumpulan itu sebanyak RM1.3 bilion bagi suku pertama berakhir 31 Mac lalu didorong oleh strategi utamanya dalam menambah simpanan tanah khususnya di Lembah Klang.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas