Berita

Catur asah kemahiran berfikir

SEBAHAGIAN 454 murid sekolah rendah yang menyertai Kejohanan Catur MSSWPKL baru-baru ini.
- Diterbit 11 Februari 2020 6:05 AM MYT

OPTIMIS melahirkan bakat pemain catur di negara ini, Majlis Sukan Sekolah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (MSSWPKL) dengan kerjasama Plaza Metromall dan Sekolah Kebangsaan Taman segar, Kuala Lumpur menganjurkan Kejohanan Catur MSSWPKL Daerah Pudu.

Kejohanan yang berlangsung selama lima hari bermula 3 hingga 7 Februari itu melibatkan 454 murid daripada 33 buah sekolah.

Pengerusi Teknik Zon Pudu merangkap Ketua Arbiter (Hakim), Khairulfikri Mokhtarudin berkata, program tersebut diadakan bagi mencungkil dan mengasah bakat murid-murid dalam permainan catur.

“Catur merupakan satu permainan yang terbaik untuk membantu psikologi kanak-kanak selain mengasah kemahiran berfikir.

“Melalui penganjuran kejohanan seperti ini pula, murid-murid terdedah kepada suasana pertandingan yang semestinya menyebabkan rasa gemuruh di samping membantu menguatkan semangat untuk terus bersaing,” katanya kepada Wilayahku baru-baru ini.

PESERTA meneliti gerak langkah lawan bagi mengelakkan kesilapan berlaku.

Mengulas lanjut, Khairulfikri yang juga guru Sekolah Kebangsaan Taman Segar memberitahu, kejohanan tersebut juga bagi membolehkan pihaknya mencari wakil pemain peringkat negeri dan kebangsaan pada tahun ini.

Katanya, pertandingan tersebut juga merupakan acara tahunan yang diadakan di Kuala Lumpur melibatkan murid sekolah rendah berumur 7 hingga 12 tahun.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas