Berita

Dibina daripada 6,000 tan besi, Masjid Besi gah dengan satu kubah

MASJID Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya gah dengan campuran keseniaan Jerman dan China.
- Diterbit 11 Februari 2020 7:09 AM MYT

KETENANGAN sebenar boleh didapati di rumah Allah. Selain ketenangan jiwa diperoleh melalui ibadah seperti solat dan berzikir, peluang beriktikaf di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya mampu merehatkan minda kepada setiap penziarahnya.

Keindahan seni bina masjid kedua di Putrajaya ini atau lebih dikenali sebagai Masjid Besi selain kedudukannya di tepi Tasik Putrajaya menghasilkan pemandangan yang memukau.

Ditambah pula dengan konsep masjid terbuka, angin menderu dari arah tasik menghasilkan suasana yang nyaman.

Tidak lengkap lawatan ke Putrajaya jika tidak menjejakkan kaki ke Masjid Besi yang penuh dengan keunikannya tersendiri.

Malah ramai mempelai mengambil kesempatan menjalankan upacara pernikahan di masjid ini lantaran ia mampu meninggalkan momen yang begitu indah.

Masjid Besi mula dibina pada 5 April 2004 dan pengurusannya diserahkan kepada pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada 19 Ogos 2009.

Terletak di Presint 3, Putrajaya, masjid yang menekankan tiga komponen utama dalam pembinaannya iaitu angin, sederhana dan telus merupakan satu-satunya masjid yang menggunakan 6,000 tan besi atau 70 peratus bahan binaan dengan baki 30 peratus konkrit.

Bahan binaan yang padu itu menjadikan masjid itu menelan kos RM200 juta dan mengabadi nama Yang di-Pertuan Agong XIII, Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Komponen utama pembinaan masjid tersebut adalah bangunan masjid dan Kiblat Walk iaitu laluan pejalan kaki yang menghubungkan Kompleks Perbadanan Putrajaya dengan Masjid Besi.

Menariknya di masjid ini, bahagian dalam dewan solat utama tidak menggunakan kipas atau pendingin hawa sebaliknya menggunakan teknologi gas penyejuk udara manakala ruang solat utama dikelilingi kolam air yang membuatkan pengunjung dapat menikmati suasana udara segar yang dingin dan nyaman.

TAMAN dan ruang terbuka menjadikan suasana di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin lebih dingin dan nyaman.

Reka Bentuk

Selain itu, reka bentuk dalamannya juga unik dan dipenuhi tulisan ayat al-Quran yang dilakarkan dalam lapisan kaca setinggi 13 meter. Ideanya terhasil daripada campuran kesenian Jerman dan China.

Di bahagian kanan cermin pula terdapat nukilan ayat 40 hingga 47 surah Ibrahim manakala di bahagian kiri adalah ayat 148 hingga 153 surah al-Baqarah.

Pintu utama menuju ke ruang solat utama pula kelihatan ukiran ayat 80 surah al-Isra’, pintu gerbang utamanya diperbuat daripada binaan konkrit putih yang dilatari tulisan kaligrafi 99 nama Asma’ Ul-Husna.

Lebih mengagumkan adalah kubahnya diperbuat daripada besi tahan karat manakala dewan solat utama dikelilingi dengan marshrabiyah ‘screen’ yang terdiri daipada ‘lattice’ dan ‘architectural metallic wailing screen’ yang berfungsi sebagai telus cahaya dan angin.

KUBAH yang tersergam indah ini dibina daripada besi tahan karat.

Selain itu, masjid tersebut mengunakan teknologi ultrasonic yang digunakan sebagai penghalau burung daripada memasuki masjid.

Seperti masjid-masjid lain, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin turut mempunyai identitinya yang tersendiri. Ini kerana, ia memperlihatkan kalimah “ALLAH” daripada pandangan bawah bahagian dalaman kubah selain tidak mempunyai menara.

Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin boleh memuatkan 20,000 jemaah dalam satu-satu masa.

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas

BERITA SEMASA