Berita

Tiada keperluan panggil Muhammad Sajad – Mujahid

MUJAHID (kanan) mengedarkan pembersih tangan kepada pelancong di perkarangan Masjid Jamek Sultan Abdul Samad Kuala Lumpur ketika hadir ke Majlis Penyerahan Bantuan Pembersih Tangan kepada pengerusi masjid mewakili masjid-masjid di Wilayah Persekutuan.
- Diterbit 4 Februari 2020 8:23 AM MYT

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof memberitahu, tiada keperluan untuk pihaknya memanggil Muhammad Sajad Kamaruzzaman atau lebih dikenali sebagai Sajat selagi perkara yang melibatkan jutawan kosmetik itu belum jelas.

“Isu dia, satu.. dia (Sajat) tak balik lagi, yang kedua kita dah melihat. Alternatif yang ada adalah dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan agensi (pelancongan) itu sendiri serta apa kemungkinan-kemungkinan yang ada.

“Jadi sehingga semua itu jelas dan nyata, barulah saya akan fikir isu-isu yang datang seperti soalan yang diajukan ini,” katanya ketika ditanya pemberita selepas Majlis Penyerahan Bantuan Pembersih Tangan kepada pengerusi masjid mewakili masjid-masjid di Wilayah Persekutuan di Masjid Jamek Sultan Abdul Samad di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Mohd. Ajib Ismail.

Kata Mujahid, beliau telah menjelaskan mengenai isu berkenaan setelah mengadakan pertemuan bersama SKMM semalam susulan tindakan usahawan kosmetik ketika berada di Mekah.

Dalam kenyataannya itu, beliau menjelaskan pertemuan bersama SKMM itu bertujuan untuk mengambil tindakan segera ekoran pelbagai video dan gambar yang dimuat naik Muhammad Sajad yang mengenakan pakaian jemaah wanita ketika menunaikan umrah.

Terdahulu, Mujahid menyerahkan 1,000 botol kecil pembersih tangan dan 200 botol besar serta tisu basah kepada wakil-wakil masjid seluruh Wilayah Persekutuan susulan penularan wabak Novel Coronavirus (2019-nCov) yang melanda negara. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas